Titah KDYMM Di Majlis Bersama Rakyat Dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Yang Berada Di United Kingdom Dan Ireland

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN 
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 

DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND 

PADA 

25 RABIULAKHIR 1441H/22 DISEMBER 2019

BERTEMPAT
LONDON, UNITED KINGDOM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan rahmatNya jua, dapatlah Beta bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland Utara, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang sedang bertugas di sini dan mereka yang bercuti bersama keluarga.

Majlis ini memberi peluang kepada Beta untuk secara lebih dekat mengetahui kemaslahatan para penduduk dan rakyat Beta, khasnya para pelajar yang sedang menuntut.

Kerajaan Beta tetap akan memberi keutamaan kepada pendidikan, selaku salah satu pelaburan. Pelaburan jenis ini mampu, untuk melahirkan tenaga manusia yang berkualiti, yang diperlukan untuk memacu perkembangan dan kemajuan.

Dalam mempersiapkan negara mengharungi perkembangan, tenaga manusia adalah utama untuk diambil kira. Pertama, tenaga itu mesti berilmu dan berkemahiran, dan kedua, mereka mesti amanah, berwibawa dan berwawasan. Inilah kualiti yang sebenar-benarnya yang kita perlukan. Pada hemat Beta, tenaga seperti ini lebih hampir untuk diperolehi daripada kalangan penuntut atau pelajar jua.

Oleh itu, para pelajar jangan lalai dari memanfaatkan peluang ini. Ambillah langkah meningkatkan pengetahuan secara formal di institusi-institusi pendidikan, sambil proaktif mengembangkan kompentensi-kompetensi membentuk jati diri, melalui pendidikan tidak formal seperti penceburan ke dalam akitiviti-aktiviti kokurikulum dan program-program pembangunan kapasiti.

Untuk ini, semua kementerian-kementerian yang menawarkan biasiswa kerajaan patutlah menimbangkan aspek-aspek lain selain dari pencapaian akademik dalam proses pemilihan calon, seperti aspek kepimpinan dan kemantapan jati diri. Ini penting sebagai persediaan menghadapi persekitaran yang mengandungi pelbagai budaya dan gaya hidup berbeza.

Para pelajar sendiri, apabila berada di luar negara, perlu bijak menimbang atau menilai kepelbagaian ini, dengan tidak mengabaikan ugama, identiti dan bahasa ibunda. Kerana semua ini merujuk kepada harga diri bangsa.

Beta mengharapkan, seluruh pelajar yang menuntut di luar negara, sama ada di bawah Skim Biasiswa Kerajaan mahupun yang belajar dengan pembiayaan sendiri, akan pulang ke tanah air dengan membawa kejayaan masing-masing.

Beta difahamkan seramai 51 orang pelajar yang dianugerahkan biasiswa kerajaan telah menamatkan pengajian mereka di sini pada tahun ini. Sejumlah 18 peratus iaitu 9 orang daripadanya telah memperolehi ijazah sarjana muda klasifikasi Kelas Pertama, dan yang selebihnya Kelas Kedua Atas dan Kelas Kedua Bawah. Di antara mereka juga termasuk seramai 19 orang pelajar yang telah lulus dalam bidang perubatan.

Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang berjaya itu. Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Dan pada masa yang sama juga, diharapkan kejayaan ini akan turut menyuntik semangat pelajar lain yang masih belajar. 

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan agar semua pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini sentiasa dalam sejahtera dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Di Majlis Pembukaan Rasmi Konferensi Antarabangsa Islam Borneo 12,2019 dan Borneo International Halal Showcase 2, 2019

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

DI MAJLIS
PEMBUKAAN RASMI KONFERENSI 
ANTARABANGSA ISLAM BORNEO 12, 2019
DAN BORNEO INTERNASIONAL HALAL

SHOWCASE 2, 2019

PADA HARI RABU
11 DISEMBER 2019

BERTEMPAT

DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, 
BERAKAS,

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Konferensi Antarabangsa Islam Borneo dan Borneo International Halal Showcase pada pagi yang mubarak ini.

Sesungguhnya tidak diragukan lagi, bahawa perkumpulan ini adalah merupakan majlis zikir mengingati Allah Ta’ala.

Beta difahamkan bahawa KAIB merupakan kali ke-12, sedang BIHAS pula kali ke-2 ia diadakan. Ini bermakna sudah berkali-kali KAIB dan BIHAS berkongsi maklumat mengenai perkembangan Islam di Borneo. Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur yang berusaha mengendalikan KAIB dan BIHAS yang sangat bermakna ini.

Sesungguhnya Borneo, mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Ia merupakan budaya, adat resam, perniagaan dan hubungan rapat sesama Islam.

Maksud Beta mengenai hubungan, ialah hubungan antara negara dan wilayah di dalam Borneo. Ia didapati sentiasa kukuh dan harmoni berdasarkan semangat persaudaraan yang telus. Perkara ini mustahak dipelihara terus untuk menjamin keselamatan dan kemakmuran bersama.

Hubungan menurut perspektif Islam, ialah seperti firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, tafsirnya:
“Wahai Manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku kaum supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”.

Sehubungan itu, KAIB dan BIHAS adalah bukti, bahawa hubungan baik itu dapat saja dijelmakan pada bila-bila masa dengan izin Allah, sama ada ia atas nama hubungan sesama Islam ataupun atas nama bangsa atau puak atau suku kaum.

Bagi kita orang-orang Islam akan tetap terikat dengan hukum syarak, seperti dalam perkara makan minum umpamanya, hanya akan tertentu kepada benda yang halal sahaja menurut tafsiran syara’. Begitu juga dalam perkara lain, hukum syara’ adalah pemandu cara kita satu-satunya.

Tema konferensi menggandingkan ‘ilmu dengan amal’ sebagai penentu kebitaraan ummah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ilmu dan amal itu, adalah penentu segala-galanya. Ilmu tidak akan dapat bergerak tanpa amal, sedang amal pula jika dilakukan tanpa ilmu boleh mengundang mudharat.

Demikianlah kepentingan ilmu dana amal sama-sama menentukan. Kedua-duanya perlu berjalan seiring untuk kesempurnaan. Kehidupan pasti pincang jika salah satunya tiada. Kerana itu orang berilmu mesti beramal dengan ilmunya, barulah datang kebajikan.

Di samping konferensi antarabangsa Islam Borneo, dalam masa yang sama, Borneo International Halal Showcase (BIHAS) juga sama-sama berlangsung, yang mendokong tema: “Empowering Borneo Halal Market”.

Bagaimanakah caranya memperkasa halal market itu? Jawabnya, juga dengan ilmu dan amal, bukan dengan slogan-sloganan atau dengan kata-kata sahaja, tidak mencukupi. Tetapi memerlukan ilmu dan amal sama-sama berperanan.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan sekali lagi penghargaan yang tinggi serta ucapan tahniah di atas usaha pihak penganjur KAIB ke-12 dan BIHAS ke-2 pada tahun ini. Semoga usaha yang berkebajikan ini akan membuahkan keberkatan kepada ummah.

Dengan lafaz suci Bismillah hirrahman Nirrahim, Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta sekalian kerabat dan para sahabat Baginda, Beta rasmikan Majlis Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Ke-12, 2019 dan Borneo International Halal Showcase Ke-2, 2019.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Pengurniaan Hadiah Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara Ke-9

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERSEMPENA
MAJLIS PENGURNIAAN HADIAH
MUSABAQAH TILAWAH AL-QUR’AN

BELIA ASIA TENGGARA KE-9

PADA 
HARI KHAMIS
09HB. RABIULAKHIR 1441

05HB DISEMBER 2019

TEMPAT:
DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur, kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita berkumpul pada malam ini di Majlis Pengurniaan Hadiah Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara Ke-9, Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2019 Masihi. 

Beta sukacita mengucapkan tahniah kepada para pemenang Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara Ke-9 serta sekalian peserta yang turut mengambil bahagian bagi menyemarakkan lagi semangat kesatuan mengagungkan Kitab Suci Al-Qur’an. 

Beta sangat teruja dengan matlamat Musabaqah ke arah membentuk generasi belia yang menghayati Al-Qur’an. Dengan menghayati Al-Qur’an, insya Allah, para belia akan beroleh penghidupan yang baik lagi berkat, sempurna keperibadian dan akhlak. Dalam era penuh pancaroba ini, Al-Qur’an memainkan peranan untuk menyuluh semua kegelapan. 

Dengan Al-Qur’an, penyakit-penyakit zaman boleh terubat, andainya manusia mahu. Tetapi sayang bukan semua orang mahu menghampiri Al-Qur’an, kerana itulah penyakit ini belum lagi terubat. Namun kita orang-orang Islam tidaklah perlu menunggu seluruh dunia berminat kepada Al-Qur’an. Tetapi yang penting, kita jangan lambat merawat persekitaran kita sendiri dengan Al-Qur’an. Zaman kita akan sihat dan gemilang, jika kita bersedia merawat diri dan keadaan dengan Al-Qur’an. 

Lebih diperlukan di sini ialah peranan para belia. Kerana merekalah suara zaman yang lantang untuk menyuarakan segala harapan. Suara itu pastinya akan didengar oleh semua peringkat dalam apa jua keadaan. 

Belia harapan bukanlah kerana namanya ‘belia’, tetapi harapan di sini ialah tonggak untuk membawa perubahan-perubahan besar kepada masyarakat, termasuk merubah gaya dan budaya yang tidak baik kepada yang baik atau lebih baik. 

Semua ini boleh dicapai dengan bersuluh atau berpandu kepada Al-Qur’an. 

Inilah hebatnya Al-Qur’an itu sebagai penunjuk jalan untuk kita sampai kepada kesempurnaan. Al-Qur’anlah pelita sepanjang zaman. Ialah cahaya yang menerangi kehidupan. 

Oleh itu, Beta berharap, supaya kita akan terus melahirkan lebih ramai para belia yang mesra Al-Qur’an, sama ada melalui usaha-usaha persendirian mahupun menerusi Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara ini. 

Jadikanlah Al-Qur’an sebagai teman rapat bagi kita. Janganlah berenggang darinya. Barangsiapa yang menjadikan Al-Qur’an sebagai temannya, orang itu akan beroleh keselamatan di dunia dan di akhirat. 

Menjadikan Al-Qur’an itu teman, bukanlah dengan menggendong naskhahnya, tetapi membacanya, mempelajari dan mengamalkan segala ajarannya. 

Demikianlah harapan Beta. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam kali ke-26

TITAH 

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

SEMPENA
SAMBUTAN HARI PERKHIDMATAN AWAM 

KALI KE-26

PADA HARI SELASA
15HB RABIULAWAL 1441

12HB NOVEMBER 2019

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN 
ANTARABANGSA, BERAKAS,

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula berkumpul pada pagi ini di Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-26 bagi Tahun 2019.

Tidak dapat disangkal lagi, Perkhidmatan Awam adalah merupakan jentera penggerak kerajaan dalam membangun negara bagi kesejahteraan rakyat. 

Ia, bukan sahaja untuk masa ini, malahan juga untuk kepentingan jangka panjang. 

Perkhidmatan Awam berperanan menanai tanggungjawab besar untuk masyarakat.  Ia perlu mempunyai usaha atau inisiatif bagi kemanfaatan masyarakat secara langsung. 

Mengenai usaha atau inisiatif ini, masih saja ada warga awam di peringkat tertentu yang mengabaikannya. Misalnya, telah didapati satu isu, yang sepatutnya sudah boleh selesai lapan tahun yang lalu, tetapi sehingga kini, ia masih saja belum lagi diselesaikan. 

Mengapakah ia belum diselesaikan? Adakah kerana takut untuk membuat keputusan? Atau kerana masih ragu untuk membuat keputusan? Kalau inilah sebabnya, mengapakah tidak dirujuk kepada ketua atau bertanya langsung kepada pihak tertentu untuk mendapatkan pencerahan?

Usaha atau inisiatif seperti ini nampaknya tidak dibuat, makanya isu lapan tahun itu belum lagi terungkai. 

Masa lapan tahun bukannya pendek. Macam-macam boleh berlaku dalam jangka masa tersebut. Misalnya kita ada projek membangun sebuah bangunan, maka masa lapan tahun tertangguh itu boleh saja mendatangkan kerugian besar, seperti harga barang mungkin naik melambung sehingga dua atau tiga kali ganda. 

Inilah akibat dari tidak adanya usaha atau inisiatif, yang juga boleh ditafsir sebagai tidak adanya amanah dalam menjalankan tugas dengan baik. 

Beta ingin menekankan di sini, bahawa amanah adalah wajib diamalkan oleh setiap warga Perkhidmatan Awam. Tidak ada maknanya berkhidmat tanpa amanah. Amanah adalah ‘tiang seri’ keadilan. Rakyat mesti dilindungi dan dibela dengan keadilan. Inilah ajaran ugama kita. 

Semua orang dilihat cenderung dan suka bercakap mengenai keadilan. Tetapi bagi Beta, bercakap sahaja belumlah memadai tanpa melaksanakannya. Keadilan hanya akan ‘gemerlap’ apabila dilaksanakan. Kerana itu, kita sama sekali tidak mampu untuk berkompromi dengan sebarang ketidakadilan. 

Jika Perkhidmatan Awam lemah melaksanakan keadilan, maka kepentingan rakyat pasti terjejas. Kerana itulah undang-undang digubal, untuk dilaksanakan. 

Tidak ada gunanya bercakap mengenai undang-undang sedang jenayah dan pelanggaran terus dibiarkan berlaku, tidak ditangani. Misalnya satu contoh, kita sudah ada Akta Kesalahan-Kesalahan Berkaitan Pengotoran Di Tempat-Tempat Awam dan Pembuangan Sampah, tetapi pembuangan sampah masih terus berlaku tanpa kawalan berkesan. Ini dapat dilihat dari sungai-sungai dan longkang-longkang yang terus dicemari sampah, sedang di tempat lain, orang membuang puntung rokok pun dikenakan tindakan undang-undang. 

Contoh lain, kita juga sudah ada Akta Perintah Tembakau untuk melarang antara lain, penggunaan iklan-iklan merokok, mengawal penjualan, promosi, termasuk melarang merokok di tempat-tempat dan kenderaan-kenderaan tertentu dan seumpamanya. Namun masih boleh dilihat kelibat orang merokok di pasar-pasar atau di tempat-tempat awam lain, tanpa diambil tindakan. Padahal asas untuk bertindak adalah cukup kuat, dari segi, rokok itu sangat membahayakan kesihatan dan bahkan hukum merokok juga sudahpun difatwakan sebagai haram. Jadi di mana amanah dan sensitiviti pihak-pihak berkenaan dalam melaksanakan Akta ini?

Tema Sambutan adalah cukup menarik, berbunyi: “Perkhidmatan Awam Berintegriti dan Berinovasi, Pemangkin Pembangunan Negara”. Tetapi jika tema sahaja menarik, sedang perkhidmatan kurang atau tidak menarik, maka ini namanya satu kepincangan. Setiap kepincangan mestilah diatasi. 

Bagaimanapun, Beta masih percaya dan optimistik dengan Perkhidmatan Awam. Ia masih berpeluang dan mampu untuk menyuluh perkembangan optimum setiap kementerian, jabatan dan juga pegawai serta kakitangan kerajaan, melalui skim penganugerahan-penganugerahan yang munasabah. 

Oleh itu, Beta tetap gembira, kerana kita masih dapat menganugerahkan beberapa anugerah, berdasarkan merit, iaitu Anugerah Inovasi Perdana, Anugerah Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA), Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam dan Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam. 

Beta tidak lupa merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah-anugerah tersebut, semoga mereka dikurniakan keberkatan, untuk dapat menyuntik semangat para warga Perkhidmatan Awam yang lain bagi sama-sama memburu kecemerlangan. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen ke-9 KUPU SB bagi tahun 1441H / 2019M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KESEMBILAN
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 

BAGI TAHUN 1441H/2019M
PADA HARI SELASA
16 SAFAR 1441 / 15 OKTOBER 2019

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan taufiq dan hidayah-Nya jua, dapatlah kita berkumpul dalam Majlis Konvokesyen Kesembilan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada pagi yang mubarak ini. 

Dengan sukacita, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Beta juga mengucapkan tahniah yang sama kepada para ibu bapa atas doa dan dorongan padu mereka terhadap cita-cita anak-anak. Begitu juga kepada para ahli akademik KUPU SB yang terus menerus memberikan bimbingan kepada para graduan. 

Kejayaan ini wajar disyukuri selaku anugerah daripada Allah Subhanahu Wata’ala atas usaha gigih para graduan sendiri. Kejayaan juga sekali gus adalah amanah untuk dimanfaatkan sebaiknya. 

Kita perlu ingat, bahawa perguruan adalah kerjaya paling utama, kerana dari usaha gurulah lahirnya modal insan professional dalam pelbagai bidang. Guru adalah penyampai pendidikan, sementara pendidikan pula adalah asset terpenting dalam pembangunan negara. Oleh itu, tugas guru ialah mewariskan ilmu kepada anak bangsa. 

Anak bangsa perlu menerima pewarisan ini untuk dipakai dan dikembangkan. Dipakai bererti dipelajari dan diamalkan, sementara dikembangkan pula ialah mengajar dan menyebarluaskannya. 

Ini mesti berlaku secara berterusan, tidak boleh putus. Jika putus, bermakna putus pula pelaburan. 

Pendidikan tidak syak lagi adalah pelaburan sepanjang hayat. Ia tidak mengenal limit atau batasan. Ia tidak takluk di bawah angka. Angka tidak boleh digunakan untuk menyekat pelaburan ilmu. Kerana itu adalah salah jika pendidikan disekat kerana takut tiada pekerjaan atau takut pengangguran bertambah. 

Adalah pasti, pendidikan itu satu pelaburan, sementara kerjaya atau pekerjaan pula, satu pelaburan lain. Keduanya sama-sama penting, tetapi yang lebih penting malah utama, ialah pelaburan pendidikan. Kalau alam pekerjaan boleh saja diteroka kemudian, tetapi pendidikan tidak dapat ditangguh-tangguhkan. 

Demikian itulah pentingnya pendidikan. Sebab itu Allah sendiri, melalui pena dan tulisan, telah mengajar kita manusia apa-apa yang tidak diketahui (lihat Surah Al-`Alaq,ayat-ayat 4 dan 5). 
Beta gembira mengetahui, KUPU SB terus menerus berusaha memantapkan program-program akademiknya dan menggembleng pembentukan syakhsiah para pelajarnya melalui aktiviti-aktiviti kokurikulum. 

Sehubungan ini, Beta ingin menyarankan supaya semua institusi pengajian tinggi bekerjasama menggiatkan aktiviti akademik yang berkebajikan untuk negara. 

Kepada KUPU SB, Beta pernah bertitah mengenai ‘Tulisan Jawi’. Pada hemat Beta, Tulisan Jawi tidak wajar dibebankan kepada KUPU SB sahaja, sedangkan ia menyangkut tanggungjawab semua. Kerana bukankah Tulisan Jawi itu, sama dengan Bahasa, merupakan jiwa dan identiti bangsa?

Selaku milik bersama, maka semua pihak, terutama pusat-pusat pengajian tinggi, wajarlah bergerak bersama-sama, bantu membantu untuk mendaulatkan warisan ini. Dan Beta, berdasarkan rasional ini, telah memperkenankan penubuhan Pusat Pengkajian Jawi. 

Beta juga telah bertitah mengenai perlunya ‘Sejarah Islam’ diajar disekolah-sekolah, termasuk pusat pengajian tinggi bagi dijadikan sebagai mata pelajaran sampingan sahaja kepada mata pelajaran sejarah yang sudah sedia diajarkan di Sekolah-sekolah dan Pusat Pengajian Tinggi di negara ini. 

Beta gembira mengetahui KUPU SB telah mengadakan Seminar mengenainya. 
Disinilah indahnya ‘Sejarah Islam’ itu yang bersangkutpaut dengan Konsep MIB dan Negara Zikir. 

Maka demi kewajipan terhadap ugama dan negara, Beta ingin mengingatkan, supaya kita ini mesti berfikir dan bertindak secara orang Brunei tulen, bukan berfikir dan bertindak secara di luar Brunei. 

Akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KUPU SB, khususnya kepada pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti, Senat, Ra’es, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas khidmat dan sumbangan yang mereka berikan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah KDYMM Di Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2019

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS
PERASMIAN MAJLIS ILMU 2019
SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-73 TAHUN

PADA HARI SABTU
13 SAFAR 1441 / 12 OKTOBER 2019

BERTEMPAT
BALAI KHAZANAH ISLAM
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita hadir dan berkumpul di Majlis Ilmu pada pagi ini.
 
Pada tahun ini, Majlis Ilmu memaparkan tema: “Manuskrip Islam Mercu Tanda Ketamadunan Umat”. 
Bercakap mengenai ketamadunan umat, pada biasanya kita akan mengimbas balik sejarah ketamadunan Islam di era Kerajaan Abbasiyyah di Kota Baghdad, di zaman Pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rashid dan Khalifah Al-Ma’mun, di mana aktiviti-aktiviti keilmuan seperti perbincangan, penyelidikan, penulisan dan penterjemahan telah diungkayahkan oleh “Baitul Hikmah”, yang berjaya melahirkan ramai para ilmuan seperti Al-Kindi, Al-Farabi, Al-Ghazali serta ramai lagi. 

Baitul Hikmah pada ketika itu bukan sahaja merupakan perpustakaan, malahan juga tempat pertemuan para cendekiawan dan ilmuan. 

Pada hemat Beta, Balai yang kita ada sekarang juga ada mirip-miripnya dengan Baitul Hikmah, kerana Balai ini juga berperanan sangat luas, seperti mengumpul, memelihara, mengkaji dan menyebarkan khazanah ilmu untuk kemajuan Islam dan umat seumumnya. 

Beta difahamkan, Balai ini, sejak ia ditempatkan sementara di Bangunan Darul Ifta’ pada Ogos 2001, telah menerima kunjungan kira-kira lebih seratus ribu pengunjung terdiri dari orang-orang kenamaan dan para pembesar, para pengkaji, penuntut dan orang ramai, dari dalam dan luar negara. 

Beta gembira, Majlis Ilmu pada tahun ini disempenakan juga dengan perasmian Bangunan kekal Balai ini. 

Sesuai dengan kefungsian Balai, bukan hanya untuk mempamer semata-mata, bahkan juga mendukung konsep ketamadunan yang lebih menyeluruh, maka Beta sukacita menamakan Bangunan kekal ini dengan nama : Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, untuk menggantikan nama: Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah. 

Beta berharap, Balai ini akan benar-benar menjadi pusat warisan ilmu Islam, yang mampu untuk menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan. 

Beta juga ingin melihat komitmen institusi-institusi pengajian tinggi bagi sama-sama menjayakan aktiviti dan program keilmuan tersebut. 

Pada hemat Beta, Balai ini juga berpotensi untuk menjadi ‘Pusat sehenti destinasi pelancongan Islam’ atau ‘One-stop Islamic tourism destination’. Maka sehubungan dengan itu mustahaklah bagi kementerian dan jabatan yang berkenaan untuk memberikan komitmen padu masing-masing bagi kemajuan Balai ini. 

Di sini, Beta dengan sukacita mengumumkan, bahawa Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan duduk di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mengurus dan mentadbirkannya. 

Bersukut dengan suasana keilmuan pada pagi ini, Beta tersuntik untuk menganugerahkan satu penganugerahan berprestij kepada seorang tokoh ilmuan Negara Brunei Darussalam, yang dinilai layak menerimanya, demi kerana keilmuan beliau dalam bidang pengkhususannya. Anugerah tersebut ialah berupa gelaran : “Professor Kehormat”. 

Dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Allahumma Shalli ‘Alaa Sayyidina Muhammad, Wa’alaa ‘Aalihi Washahbihi Ajma’een, Beta dengan amat sukacita merasmikan Majlis Ilmu 2019 berserta semua acara-acara di dalamnya dan sekaligus merasmikan Bangunan Kekal Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.