Skip Ribbon Commands
Skip to main content

2013 PMO News

05.12.13 12 graduan ITQSHHB terima sijil Diploma 'Aliyah Qira'at


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat ke Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Kali Pertama.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Banquet, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, selaku Pengerusi Lembaga ITQSHHB.

Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di JPM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Kebawah DYMM kemudian berkenan menyempunakan penganugerahan syahadah atau sijil Diploma 'Aliyah Qira'at kepada seramai 12 graduan termasuk dua orang perempuan yang telah tamat pengajian selama tiga tahun di ITQSHHB.

Sementara Ijazah Hafaz Al-Qur'an kepada 30 orang Huffaz Negara Brunei Darussalam termasuk empat orang perempuan adalah mereka yang telah lulus dalam ujian Tasmie' Menghafaz Al-Qur'an bagi kategori 30 Juzuk yang dijalankan oleh Lembaga Tasmie' Menghafaz Al-Qur'an.

Dari jumlah tersebut, seramai 27 orang Huffaz merupakan lepasan pelajar ITQSHHB, manakala tiga orang penerima ijazah tersebut tidak mengikuti pengajian di institut berkenaan secara formal.

Kebawah DYMM kemudian dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran ITQSHHB yang mempamerkan dua dekad perkembangan dan pencapaian institut tersebut.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned dan diikuti dengan persembahan hafazan Surah Al-Mulk oleh tiga penerima Ijazah Hafaz Al-Qur'an 30 Juzuk.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan bahawa sebagai satu-satunya Institut Tahfiz Al-Qur’an di Negara Brunei Darussalam, institut tersebut mampu melahirkan para Hafiz Al-Qur’an yang telah dan akan terus mengharumkan nama negara.

Yang Berhormat menyembahkan mana-mana pelajar yang telah hafaz Al-Qur’an 30 Juzuk dengan sempurna adalah mendapat peluang yang sama untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada dalam bidang Pengajian Islam mahupun di dalam bidang pengajian umum termasuk Sains dan Teknologi.

"Apa yang diharapkan ialah hafazan Al-Qur’annya itu akan terus dijaga dan diperliharanya sepanjang masa. Alhamdulillah, dengan keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik ke Majlis Haflut Takharruj Kali Pertama ITQSHHB pada hari ini sesungguhnya menunjukkan keprihatinan yang besar dari Kebawah Duli Tuan Patik sendiri memberikan makna yang sangat tinggi nilainya, dan merupakan dorongan yang kuat supaya lebih ramai anak-anak tempatan berminat untuk mengikuti bidang hafalan Al-Qur’an Al-Karim iaitu suatu bidang istimewa yang bukan mudah untuk menguasainya, di samping membawa rahmat dan berkat kepada hafiz itu sendiri, keluarga dan negara”,ujar Yang Berhormat.

Majlis turut diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned yang berkisarkan tentang keistimewaan dan kebesaran membaca Al-Qur’an.

Dalam ceramahnya, Yang Berhormat menegaskan bahawa Al-Qur’an adalah Kalam Allah (perkataan Allah) yang turun hanya kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan satu kurnia khusus lagi istimewa kepada Baginda dan kepada umat Baginda.

Yang Berhormat menjelaskan, mengikut hadith, yang menjadi penyelamat kepada dunia dari mengalami kemusnahan ialah ahli Al-Qur’an iaitu pembaca-pembaca Al-Qur’an / penghafaz-penghafaz Al-Qur’an itu adalah ‘keluarga Allah’ yang juga bererti ‘orang dalam’, orang yang paling hampir dan paling dikasihi oleh Allah.

Berasaskan ini, tegas Yang Berhormat, tidakkah kita teringin untuk menjadi ahli Al-Qur’an kerana menjadi ahli Al-Qur’an secara automatik adalah menjadi ahli keluarga Allah, begitulah istimewanya ahli Al-Qur’an.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat menyeru agar orang-orang yang memang sudah menjadi ahli Al-Qur’an supaya terus menjadi ahli Al-Qur’an, membacanya berulang-ulang dan bagi yang sudah hafaz terus menghafaz dan memelihara hafazan supaya tidak lupa.

Bagi yang belum pandai membaca Al-Qur’an, Yang Berhormat menyeru supaya mereka itu cepat dan tidak bertangguh untuk belajar membaca Al-Qur’an, untuk menjadi ahli keluarga Allah.

Bagi memberkati majlis, bacaan doa selamat telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

ITQSHHB merupakan satu-satunya institut pengajian tinggi Al-Qur’an di peringkat rendah dan diploma di negara ini yang menggabungjalinkan Hafazan Al-Qur’an dan ilmu-ilmu Al-Qur’an sebagai dasar di samping mata pelajaran yang lain.

Penubuhan ITQSHHB adalah atas titah perkenan Kebawah DYMM bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-46 pada 15 Julai 1992 dan ditubuhkan secara rasminya pada 1 Januari 1993 dengan pengambilan pertama seramai 45 pelajar pertama.

ITQSHHB maju setapak lagi dengan penubuhan Program Diploma ‘Aliyah Qira’at pada bulan Ogos 2010 dengan pengambilan pertama terdiri daripada 10 siswa dan dua siswi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments