
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai Perlawanan Akhir Polo Amal bagi Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA) yang berlangsung di Padang 1, Royal Brunei Polo and Riding Club (RBPRC), di sini.
Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.
Juga berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Pada perlawanan akhir tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang mengetuai Pasukan Black muncul sebagai juara sekali gus merebut Piala Emas Richard Mille setelah menewaskan Pasukan Red yang diketuai oleh anakanda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen dengan jaringan 5 - 4 dalam empat chaka.
Pasukan Kebawah DYMM juga dianggotai oleh anakanda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah; Top Srivaddhanaprabha dan bintang polo terbaik dari Argentina, Pablo Mac Donough.
Di akhir perlawanan, Kebawah DYMM berkenan menerima Piala Emas Richard Mille yang disembahkan ke hadapan majlis baginda oleh Richard Mille sendiri.
Sementara itu, Pasukan Red yang menduduki tempat kedua turut dianggotai oleh Vinchai Sriaddhanaprabha, Farid Abdullah dan bintang polo terbaik Argentina, Lucas Monteverde.
Manakala, Pasukan Grey yang diketuai oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan disertai oleh Inigo Zobel, Amr Zedan dan Ale Agote, menduduki tempat ketiga dan sekali gus memenangi Piala Perak Richard Mille.
Menduduki ditempat keempat pula ialah Pasukan White yang diketuai oleh Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Qawi ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan turut dianggotai oleh Tal Sriaddhanaprabha, Huzaimi Mahari dan Joaquin Pittaluga.
Tempat kelima pula disandang oleh Pasukan Yellow yang diketuai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Ali Yil Kabier bin Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan turut dianggotai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Ploy Bhinsaeng dan Santiago Labordre.
Sebelum berangkat balik, Kebawah DYMM berkenan beramah mesra bersama kanak-kanak dari YASKA dan seterusnya berkenan menerima pesambah dan bergambar ramai.
Kejohanan yang dilangsungkan selama dua hari bermula 8 Februari yang lalu telah disertai oleh lima buah pasukan.
YASKA memberi sokongan kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser dan keluarga mereka semasa menjalani rawatan, di samping menyediakan pendidikan dan kesedaran mengenai kanser kepada kanak-kanak di negara ini.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto