Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Pingat Kehormatan NBD kepada 667 penerima
13/06/2024

dpmm_130624.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam (NBD) bersempena dengan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-77 Tahun kepada 667 penerima yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan.

Berangkat mengurniakan Pingat-pingat Kehormatan NBD selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Berangkat sama pada Istiadat Istiadat Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan NBD yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman ialah paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Seramai 667 penerima terdiri daripada 257 orang lelaki dan 410 orang perempuan dikurniakan Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B.). Daripada jumlah tersebut, seramai 182 penerima dari Kementerian Hal Ehwal Ugama; 112 penerima dari Kementerian Kesihatan; 96 penerima dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; 55 penerima dari Kementerian Pembangunan; 157 penerima dari Kementerian Pendidikan; 26 penerima dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; 23 penerima dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta 16 penerima dari swasta.

Bagi memberkati Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan NBD tersebut, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Juga berangkat dan hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Pendalaman, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi, Duta-duta Besar, Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim serta ketua-ketua kampung.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

‚Äč