Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan berangkat ke Anugerah BICTA 2024
03/07/2024

dpmm_030724.jpg

​Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) berkenan berangkat dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang-pemenang Anugerah BICTA 2024 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2024; Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2024; dan Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Ir. Haji Jailani bin Haji Buntar.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

 

Majlis kemudiannya disusuli dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

 

Pada majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyaksikan tayangan video mengenai BICTA 20 Tahun yang memaparkan pencapaian-pencapaian BICTA sepanjang 20 tahun ia dikendalikan.

 

Seterusnya, ulasan keputusan bagi BICTA 2024 yang diumumkan oleh Pengiran Sarimah selaku Ketua Hakim bagi Anugerah BICTA 2024 dan disusuli dengan tayangan video 'Catatan Perjalanan BICTA 2024' yang memperlihatkan kompilasi aktiviti dan pengalaman para peserta BICTA sepanjang 2024.

 

DYTM seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan kepada pemenang Anugerah BICTA 2024 bagi setiap kategori pertandingan, Anugerah Negara Pintar dan Anugerah Penaung Diraja BICTA.

 

DYTM seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

 

Sejurus itu, DYTM dijunjung untuk melawat ke Galeri BICTA 20 Tahun dan pameran produk-produk para pemenang BICTA 2024.

 

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan yang terdiri daripada tujuh Kategori Utama, iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, pengajian tinggi, perkhidmatan pengguna dan perniagaan, khidmat kemasyarakatan dan keikutsertaan, perindustrian, awam dan kerajaan.

 

Manakala, tiga kategori Silang, iaitu pemula (Start Up) penyelidikan dan perkembangan dan teknologi.

 

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM berkenan berangkat bagi Majlis Santap dan seterusnya berkenan menyertai sesi bergambar ramai.

 

Selain daripada memenangi hadiah wang tunai dan trofi, para pemenang dalam setiap kategori juga berpeluang untuk mewakili negara ke Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) 2024 yang akan diadakan pada penghujung tahun ini di Negara Brunei Darussalam (NBD).

 

Anugerah APICTA merupakan pertandingan ICT di peringkat antarabangsa yang berprestij, disertai oleh 17 ahli ekonomi dari rantau Asia Pasifik.

 

Sejak penyertaannya di APICTA pada 2001, NBD setakat ini telah meraih empat anugerah kemenangan dan 32 anugerah merit.

 

BICTA merupakan pertandingan ICT tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama AITI dan IFB.

 

Pertandingan berkenaan bertujuan untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT dalam kalangan individu, pelajar serta perusahaan tempatan.

 

BICTA turut disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan Darussalam Enterprise (DARe).

 

Anugerah BICTA pada tahun ini bertemakan 'Negara Pintar Melalui Transformasi Digital', selaras dengan visi Majlis Ekonomi Digital dan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 yang memfokuskan kepada pentingnya memanfaatkan teknologi digital bagi perkembangan sosioekonomi dan memperkayakan masyarakat dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menyertai ekonomi digital secara efektif.

 

Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Diplomatik-diplomatik dan ketua-ketua jabatan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​