Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kebawah DYMM berkenan hantar perutusan tahniah
05/07/2024

hm_050724.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar perutusan tahniah kepada The Right Honourable Sir Keir Starmer MP berikutan dengan pelantikannya sebagai Perdana Menteri United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland yang baharu.


Di dalam titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berharap agar The Right Honourable Sir Keir Starmer MP akan mencapai kejayaan yang besar dan yakin di bawah kepimpinannya, United Kingdom akan terus mencapai kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga menyatakan bahawa United Kingdom merupakan rakan kongsi yang dipercayai. Pada tahun ini, kedua-dua buah negara meraikan Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik, yang mana merupakan pencapaian penting dalam hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin.


Hubungan berkekalan ini terus dinikmati oleh kedua-dua buah negara melalui kerjasama yang sangat baik dalam bidang-bidang berkepentingan bersama dan kerjasama rapat dalam Hubungan Dialog ASEAN-UK dan Komanwel.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berharap dapat bertemu dengan The Right Honourable Sir Keir Starmer MP ke arah mengeratkan lagi persahabatan peribadi dan hubungan yang sangat dihargai ini, demi kebaikan bersama kedua-dua buah negara dan rakyat.


Pada mengakhiri titah perutusan berkenaan, Kebawah DYMM mengucapkan semoga The Right Honourable Sir Keir Starmer sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto