
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan menerima mengadap Ahli kepada House of Councillors, National Diet of Japan dan Ketua Perwakilan, Parti Komeito, Jepun, Tuan Yang Terutama Natsuo Yamaguchi bersama delegasi, hari ini.
Turut hadir ialah Ahli kepada House of Councillors, National Diet of Japan dan Pengerusi Komiti Wanita Komeito, Puan Yang Terutama Toshiko Takeya; Ahli kepada House of Representatives, National Diet of Japan dan Timbalan Pengarah Biro Perhimpunan Tempatan Komeito, Tuan Yang Terutama Yasuhiro Nakagawa dan Duta Besar dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru.
Juga hadir pada Majlis Mengadap yang berlangsung di Qashr Al-Meezaan ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.
Semasa majlis perjumpaan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia mengesahkan hubungan istimewa antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun serta kepentingan Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik pada tahun ini.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Tuan Yang Terutama Natsuo Yamaguchi juga mengalu-alukan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam pertukaran antara masyarakat, bidang tenaga dan isu-isu semasa seperti perubahan iklim.
Delegasi tersebut mengadakan Lawatan Kerja ke Negara Brunei Darussalam bermula pada 9 hingga 11 Julai 2024.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto