Raptai Penuh Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78 bagi Tahun 2024 diadakan pagi tadi di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.
Hadir bagi menyaksikan raptai penuh berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78 bagi Tahun 2024.
Juga hadir, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara (DBM); dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Ke-78 Tahun bagi DBM.
Raptai adalah bagi memastikan kelancaran acara pada hari itu nanti.
Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di DBM akan diadakan pada Isnin, 29 Julai ini bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto