
Persembahan Khas bertemakan 'Raja untuk Rakyat dan Rakyat untuk Raja' yang dipersembahkan oleh pelbagai lapisan generasi masyarakat anak watan di Daerah Temburong mewarnai Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78.
Persembahan Khas yang diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar itu dipersembahkan di hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja.
Ia melibatkan seramai 421 peserta yang menggabungkan peserta koir, hadrah, pancaragam, pembawa bendera, peserta Persembahan Khas dan pesilat mewakili penuntut-penuntut dari Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar dan Sekolah Arab Temburong, pelajar-pelajar dari Sekolah-sekolah Rendah Daerah Temburong, gabungan Belia Daerah Temburong, Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei serta Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERSIB) Cawangan Temburong.
Dengan berkonsepkan 'Raja Berkat Negara Zikir', memperlihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan seorang raja dan Ulil Amri yang amat dikasihi rakyat jelata.
Sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang semakin maju membangun, Al-Quran menjadi keutamaan dan panduan dalam menerajui Negara Brunei Darussalam. Hasrat baginda untuk menjadikan negara ini sebuah Negara Zikir sentiasa mendapat sokongan dari segenap lapisan rakyat. Konsep ini menggambarkan hasrat dan wawasan baginda agar Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara Islam yang syumul.
Persembahan Khas bercorak persembahan tarian, nyanyian dan silat itu meliputi tiga segmen yang dimulakan dengan segmen pertama iaitu Bunga Bangsa dan Dirgahayu 78, menzahirkan perasaan amat gembira dengan keberangkatan baginda bercemar duli bersama rakyat dan penduduk Daerah Temburong. Di samping melalui Lagu Dirgahayu 78, Lagu Selamat Hari Keputeraan yang khas dicipta dan dipersembahkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Sementara segmen kedua berkonsepkan Syahadah Laksamana menggambarkan betapa rakyat dan penduduk negara ini berikrar akan terus taat setia terhadap baginda.
Kemuncak Persembahan Khas iaitu segmen ketiga berkonsepkan 'Indah Permata Hijau' memberi gambaran tentang keindahan negara yang diterajui oleh baginda bukan hanya dari aspek fizikalnya bahkan pembangunan dan kemajuan yang dicapai selaras dengan Wawasan Brunei 2035 yang berterusan berupaya membangun sebuah Negara Zikir iaitu rakyat yang sentiasa taat kepada Ulil Amri.
Dalam temu bual bersama Guru Besar Sekolah Rendah Semabat Temburong, Awang Haji Mohamad Firdaus Haji Mohamad Aus selaku Pengarah Persembahan Khas bagi Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong mengongsikan, persembahan setiap tahun menampilkan kelainan dengan tema khusus.
Pada tahun ini tambahnya, seramai tujuh jurulatih mewakili belia Ahli Belia Permata Hijau Temburong terlibat melatih para peserta persembahan khas kali ini.
“Meskipun hanya membuat latihan dalam waktu yang singkat, namun saya berbangga kerana setiap peserta telah memberikan kerjasama dan komitmen yang baik semasa sesi latihan sehinggalah ke acara kemuncak. Melalui penyertaan ini, saya berharap mereka akan dapat meningkatkan sifat patriotisme mereka dan sebagai satu kebanggaan dan pencapaian mereka," ujarnya yang sudah 10 tahun terlibat dalam Persembahan Khas berkenaan.
Melalui tema 'Raja untuk Rakyat dan Rakyat untuk Raja', menggambarkan hubungan raja dengan rakyat yang saling mendukung raja yang prihatin dan pemedulian, berterusan mengurniakan pelbagai kemudahan dan sokongan untuk rakyat demi pembangunan dan kemajuan negara dan rakyat menjunjung segala kurnia tersebut dengan penuh syukur dan sentiasa siap siaga melaksanakan perancangan pembangunan negara.
Hubungan mahabbah antara raja dan rakyat akan berkekalan. Taat setia rakyat yang tidak berbelah bahagi terhadap raja dan kesetiaan tersebut wujud dalam setiap jiwa rakyat. Raja mendoakan kemakmuran hidup rakyat dan rakyat juga mendoakan kesejahteraan raja. Kesepaduan ini menjadikan raja disanjungi dan rakyat dikasihi.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto