Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Raikan Hari Keputeraan bersama Pasukan Beruniform
27/07/2024

hm_2707241.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Persantapan untuk Pegawai-pegawai Keselamatan dan Pegawai Beruniform serta Pertubuhan-pertubuhan Awam Beruniform bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-78 di Istana Nurul Iman.

 

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman;  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah serta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

 

Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta kerabat diraja yang lain.

 

Sejurus sebelum Majlis Persantapan, bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

 

Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama para pegawai dan anggota pasukan beruniform antaranya dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Perkhidmatan Bomba Penerbangan Awam, Jabatan Laut, Pasukan Gurkha Simpanan, Askar British Garison Brunei, Unit Tahanan dan Pemulihan Keselamatan Dalam Negeri, Persatuan Veteran ABDB (PERWIRA), Persatuan Anggota PPBD Yang Bersara (POLSARA) dan Sultan's Flight.

 

Baginda juga berkenan beramah mesra bersama ahli-ahli pertubuhan sukarelawan antaranya terdiri daripada Kadet ABDB, Kadet PPDB, Kadet Bomba dan Penyelamat, Persatuan Bulan Sabit Merah, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam serta Program Khidmat Bakti Negara.

 

Majlis Persantapan bagi para pegawai dan pertubuhan-pertubuhan beruniform berkenaan bertujuan untuk menghargai peranan penting dan tanggungjawab mereka dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara, rakyat serta penduduk di negara ini.

 

Turut berangkat dan hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Hulubalang dan Manteri-manteri Pedalaman, para perwakilan asing ke negara ini, Setiausaha-setiausaha Tetap dan ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto