Persembahan Khas yang membawakan tema 'Raja Untuk Rakyat dan Rakyat Untuk Raja' dipersembahkan oleh seramai 200 peserta di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien meriahkan Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78, Tahun 2024.
Persembahan yang menampilkan konsep 'Raja Khalifah Teraju Negara' ini disertai oleh gabungan belia-belia tempatan serta melibatkan penuntut-penuntut dari sekolah menengah atas dan sekolah rendah dipersembahkan di hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja lain.
Persembahan tarian dan nyanyian ini meliputi tiga segmen yang dimulakan dengan Segmen Pertama yang mempamerkan Persembahan 'Berdatang Sembah Menjunjung Kasih' atas keberangkatan raja yang disayangi dengan menggambarkan gabungan belia-belia tempatan yang bersatu padu dalam menjana perpaduan di bawah naungan khalifah yang adil dan berdaulat.
Dengan mempersembahkan persembahan yang gemilang sebagai tanda kegembiraan rakyat dalam menyambut Hari Keputeraan raja yang dikasihi. Raja yang dipandang tinggi dan mulia oleh seluruh rakyat jelata sebagai seorang pemimpin yang berdaulat mentadbir negara menuju kemajuan dan kejayaan.
Ini disusuli dengan Segmen Kedua, iaitu Persembahan Lagu 'Raja Payung Mahkota' yang menggambarkan raja sebagai nadi kepada rakyat dan negara. Kedaulatan serta kewibawaan raja menjadi cerminan kepada kesejahteraan rakyat.
Raja diibaratkan sebagai nyawa yang menjadi pencetus semangat dan motivasi kepada seluruh rakyat jelata. Lagu yang berirama pop dibawakan penyanyi-penyanyi tempatan yang telah mencipta nama. Kombinasi lagu kanak-kanak Brunei yang diserapkan dalam irama lagu dibawakan oleh artis tempatan dan diiringi oleh kanak-kanak dari sekolah rendah.
Kemudian diteruskan lagi dengan Segmen Ketiga dengan konsep Persembahan Grand Finale, iaitu Persembahan Tema 'Raja Khalifah Teraju Negara', yang menggambarkan kegembiraan rakyat atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk bagi Daerah Brunei dan Muara.
Grand Finale ini menggabungkan seluruh peserta yang terlibat, berkonsepkan tarian yang bercorak pop tradisional yang penuh dengan warna-warni, antara dendangan nyanyian lagu-lagu bertajuk 'Selamat Puja Usia', 'Junjung Kasih', 'Raja Payung Mahkota', 'Kanak-kanak Brunei Sadu oh Sadu', 'Tampuk Negara', 'Syukur dan Raja Khalifah Teraju Negara' sebagai lagu tema Persembahan Khas ini dipersembahkan oleh para penggiat seni tanah air terdiri daripada Izzat Ramlee, Neff Aslee, Andy Othman, Atiqah Thane, Yaniey Junaini, Asde Nawang, Syahmi, Ahzad dan Amier.
Dalam temu bual bersama Pengerusi Bersama Persembahan Khas dan Pengarah Persembahan, Fathan Anuar antaranya menjelaskan lebih lanjut mengenai konsep persembahan bercorak pop tradisional agar persembahan akan menjadi lebih menarik untuk ditonton.
Menurutnya, latihan telah dimulakan selepas Hari Kebangsaan kerana kebanyakan separuh daripada mereka telah menyertai persembahan semasa Hari Kebangsaan tersebut seterusnya mencipta lagu dan seterusnya latihan dijalankan selepas Hari Raya selama tiga bulan.
“Latihan telah dibuat berasing di sekolah masing-masing dan bergabung setelah sebulan lebih sebelum latihan penuh. Konsep persembahan tahun ini merupakan pop tradisional bagi mengetengahkan penyanyi-penyanyi tanah air dengan persembahan yang bertenaga.
“Kami berharap dapat menghiburkan orang ramai terutama sekali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga diharapkan persembahan tahun ini dapat diterima dan menjadi kenangan sampai bila-bila masa," jelasnya.
Beliau berkata apa yang dapat dilihat dari tahun lepas, beliau ingin memperbaiki dan membuat perubahan agar persembahan menjadi lebih baik kerana kebanyakan yang menyertai adalah belia-belia muda.
Persembahan yang disembahkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga adalah sebagai tanda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin, limpah kurnia dan rahmat-Nya jua mengurniakan seorang raja yang berdaulat memimpin negara ke arah kemakmuran dan keamanan yang berkekalan.
Justeru, seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah DYMM bersempena dengan Hari Keputeraan baginda Ke-78 Tahun.
Manakala bagi Awang Muhammad Nurhayatullah, iaitu salah seorang peserta persembahan ingin melahirkan perasaan gembira dan teruja kerana dipilih sebagai peserta Persembahan Pentas bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Brunei dan Muara pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau juga turut merafakkan sembah ke hadapan majlis Kebawah DYMM, dengan iringan doa semoga Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia baginda dan semoga kewibawaan, kebijaksanaan baginda dalam memerintah negara akan terus berkekalan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto