
Segenap lapisan rakyat dan penduduk di daerah ini sejak awal pagi lagi sudah membanjiri Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara bagi menanti keberangkatan tiba raja yang dikasihi bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Brunei dan Muara (DBM) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78, Tahun 2024.
DBM merupakan daerah yang ketiga bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah berkenaan yang tetap menjadi ristaan sepanjang zaman.
Ratusan murid sekolah-sekolah rendah dan menengah beratur di sepanjang tepi jalan raya mengibarkan bendera-bendera kecil Negara Brunei Darussalam bagi mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama kerabat diraja yang lain.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Yang Ke-78 Bagi Tahun 2024.
Sejurus keberangkatan tiba, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dikumandangkan, diikuti dengan persembahan khas bertemakan 'Raja Untuk Rakyat, Rakyat Untuk Raja' daripada kira-kira 400 peserta terdiri daripada gabungan belia-belia Negara Brunei Darussalam serta penuntut-penuntut sekolah rendah dan menengah.
Sejurus selepas itu, 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' dilaungkan oleh para peserta persembahan khas.
Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat ke Pentas Persembahan Khas bagi sesi bergambar ramai bersama para peserta dan seterusnya dijunjung berangkat bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk DBM.
Antara yang menyertai Majlis Ramah Mesra tersebut ialah Persatuan Wargamas, Majlis Belia Daerah Brunei dan Muara, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Persatuan Veteran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PERWIRA), persatuan-persatuan beruniform, syarikat-syarikat swasta, dan badan-badan bukan kerajaan yang lainnya.
Pada Majlis Junjung Ziarah itu, Kebawah DYMM juga berkenan menerima beberapa pesambah yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-78 Tahun.
Baginda berserta kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Persantapan Lapau yang didahului dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Pengiran Dr. Haji Badaruddin bin Pengiran Haji Abdul Rahman.
Baginda disembahkenalkan kepada lima individu yang memberikan sumbangan signifikan kepada negara iaitu Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Muhammad Nazir bin Haji Othman; Ketua Pegawai Eksekutif GoMamam, Awang Abdul Hadi bin Haji Abdul Wahab; Consultant Ophthalmologist, Brunei Eye Centre, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha Hospital, Pengiran Dr. Noor Affizan binti Pengiran Haji Abdul Rahman; Atlet Wushu Negara, Basma Lachkar; dan Pengasas BruWild, Liaw Lin Ji.
Pada majlis itu, Kebawah DYMM juga berkenan memotong Kek Hari Keputeraan baginda Ke-78 Tahun.
Sebelum berangkat meninggalkan Dewan Persantapan Lapau, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto