Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Persembahan Khas serlahkan kesetiaan kepada raja, kesejahteraan negara
30/07/2024

hm_3007241.jpg

Negara Brunei Darussalam (NBD) sangat bertuah dan amat menyanjung tinggi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku raja yang berdaulat dan juga seorang pemimpin dan ketua negara yang tersohor serta dihormati seluruh dunia.

 

Baginda adalah kedaulatan negara, lambang keharmonian, perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan negara, sekali gus menjadi pelindung hidup rakyat dan penduduk serta masyarakat pelbagai kaum yang tinggal di negara ini.

 

Perkara tersebut dizahirkan dalam Persembahan Khas yang bertemakan 'Raja Berdaulat Lagi Terhormat' semasa keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait di Padang Bandaran, di sini.

 

Juga berangkat sama menyaksikan Persembahan Khas tersebut, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

 

Persembahan Khas yang disertai seramai 378 peserta terdiri daripada belia dan penuntut itu, turut mempamerkan impian dan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjadikan negara ini untuk selama-lama menjadi sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan pada ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah dan dengan berasaskan keadilan, dan amanah dan kebebasan dengan petunjuk serta keredaan Allah Subhanahu Wata'ala, sentiasa berusaha memperoleh ketenteraman dan keselamatan, kebajikan dan kebahagiaan bagi rakyat.

 

Corak persembahan merangkumi gerak laku formasi dan tarian kontemporari yang diiringi dengan muzik latar kontemporari dan juga sebuah lagu yang digubah suai sesuai dengan tema persembahan khas.

 

Segmen pertama persembahan iaitu pembuka acara merupakan persembahan gerak laku kontemporari kelembutan, kesopanan dan formasi yang dibentuk melambangkan rakyat menyambut keberangkatan dan mendaulatkan Raja yang dihormati dan disayangi.

 

Sementara itu dalam segmen kedua pula, adalah persembahan perpaduan rakyat dalam pelbagai tarian asli yang divariasikan yang menggambarkan generasi berwawasan yang bersemangat, cergas, cerdas, aktif, proaktif, berjiwa besar, progresif dan dinamik dalam mendukung kepimpinan raja serta merealisasikan hasrat dan wawasan baginda.

 

Pelbagai tarian asli yang divariasikan dipersembahkan dalam segmen tersebut, yang melambangkan keharmonian sosial, kesetiaan dan keyakinan rakyat dalam mendukung wawasan negara.

 

Dalam segmen ketiga pula, konsep persembahan menggambarkan rakyat NBD khususnya dari Daerah Belait yang ceria dan gembira meraikan hari keputeraan Raja yang berdaulat lagi terhormat.

 

Dengan kepimpinan dan kebijaksanaan baginda, Wawasan Brunei 2035 telah dapat dirangka dan dihasilkan.

 

Wawasan negara yang perkasa ini meliputi / mempunyai perancangan yang mantap dan holistik untuk rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya; kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi; dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

 

Kepimpinan Kebawah DYMM juga telah dapat merangka nilai-nilai dan ciri-ciri yang perlu ditanamkan dan diterapkan ke dalam jiwa dan pemikiran rakyat dan penduduk untuk mencapai wawasan baginda ini iaitu kesetiaan kepada sultan dan negara; keyakinan terhadap nilai-nilai Islam; dan keharmonian sosial dan amalan tradisi berbaik-baik.

 

Baginda telah merealisasikan wawasan negara dengan terlaksananya pelbagai kemajuan dalam membentuk rakyat / bangsa yang beragama, berpendidikan dan negara yang mempunyai kestabilan ekonomi serta pembangunan, sekali gus menjadikan NBD yang dikenali serta dihormati di serata dunia.

 

Rakyat dan penduduk bersatu padu mendukung wawasan raja, taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda dan negara, serta yakin terhadap ajaran-ajaran dan nilai-nilai Islam.

 

Selain itu, rakyat dan penduduk juga bersatu dalam mengekalkan keharmonian sosial, hidup aman damai, selamat dan sejahtera dengan mengamalkan tradisi berbaik-baik di kalangan rakyat dan penduduk, di peringkat negara, serantau dan antarabangsa.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto