Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Rakyat, penduduk Daerah Belait merafak sembah bertemu raja dikasihi
30/07/2024

hm_3007242.jpg

Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat Serta Penduduk Daerah Belait adalah satu manifestasi kasih sayang menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke kota minyak, hari ini.


Hampir 10 ribu rakyat dan penduduk di daerah berkenaan seawal pagi membanjiri Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait di sini untuk sama-sama memeriahkan majlis yang sememangnya diadakan setiap tahun bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan pada tahun ini kali yang ke-78 tahun dengan mencipta memorinya tersendiri.


Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Juga berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Sejurus ketibaan Kebawah DYMM berserta kerabat diraja di sini disambut meriah dengan kibaran bendera kecil Negara Brunei Darussalam daripada lebih 2,000 pelajar yang gembira mengalu-alukan keberangkatan raja yang dikasihi rakyat menuju ke Pentas Diraja bagi menyaksikan kemuncak acara yang merupakan daerah terakhir menutup tirai Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah daripada semua daerah pada tahun ini.


Keberangkatan Kebawah DYMM serta paduka-paduka anakanda dan adinda baginda dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.


Sejurus berada di Pentas Diraja, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dimainkan dan baginda seterusnya berkenan menyaksikan Persembahan Khas yang begitu bertenaga dan penuh warna-warni daripada hampir 500 peserta yang sangat teruja memberikan persembahan terbaik dan sebagai sebuah pesambah untuk menzahirkan rasa cinta terutama sekali  ke hadapan majlis Kebawah DYMM berserta kerabat diraja.


Majlis seumpama berkenaan sudah menjadi tradisi setiap menjelangnya Sambutan Hari Keputeraan raja kesayangan rakyat ini kerana baginda sangat begitu ramah bersama rakyat di samping terus mendekati rakyat dan penduduknya di negara ini.


Dengan 47 'booths' yang disediakan terdiri daripada warga emas, penduduk dari mukim-mukim, persatuan-persatuan, agensi-agensi swasta, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan British Garisson serta lainnya, setiap penyertaan sudah pasti memanfaatkan peluang yang ada untuk berjunjung ziarah sambil merakamkan kenangan bergambar dan berswafoto bersama Kebawah DYMM dan kerabat diraja yang lain.


Selain itu, adanya majlis berkenaan mencerminkan bahawa semua lapisan rakyat dan penduduk yang berlainan bangsa, budaya dan agama namun mampu memupuk perpaduan dalam suasana harmoni dan ini sudah tentu atas kepimpinan bijaksana raja yang begitu adil dan prihatin atas kebajikan rakyat dan penduduknya.


Setelah berakhirnya bercemar duli dan junjung ziarah, Kebawah DYMM dan kerabat diraja dijunjung untuk ke Dewan Persantapan Diraja sebagai penutup majlis dan keberangkatan baginda diiringi dengan Tausyeh daripada guru-guru Ugama Daerah Belait (Jabatan Pengajian Islam Belait).


Selain itu, acara santap juga turut dimeriahkan dengan persembahan Gulintangan daripada guru-guru Maktab Anthony Abell, Seria.


Bagi memohon keberkatan majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Belait, Awang Mohd. Shah bin Haji Taip.


Pada majlis santap berkenaan, Kebawah DYMM juga berkesempatan disembahkenalkan kepada empat individu terpilih, iaitu Dayang Nazurah binti Abdullah yang merupakan Pegawai Pelajaran Kanan di Unit Pengurusan Strategik, Jabatan Pengurusan Pendidik dan beliau telah dianugerahkan Penghargaan Hari Guru (Special Mention - Sumbangan Luar Sekolah) 2023 kerana penglibatan aktif beliau di luar sekolah antaranya selaku ahli kumpulan kreatif, koreografer, penulis skrip dan narator bagi Persembahan Khas sempena Majlis Ramah Mesra sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM dari 2012 hingga 2017.


Beliau juga merupakan pemimpin pasukan pengakap muda di Sekolah Arab Belait dari 2017 hingga 2023, iaitu sebagai ahli pasukan sokongan perubatan (Medical Coverage) dengan kerjasama Emergency Medical Ambulance Services (EMAS), dan di samping itu, menjalankan inisiatif Kempen Kebersihan Komuniti Bersama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mumong di kawasan perumahan flat kerajaan di Jalan Singa Menteri.


Selain daripada itu, hasil ketekunan dalam kerjaya beliau dengan memanfaatkan teknologi infokomunikasi ketika mengajar di sekolah, beliau telah mendapat Anugerah Guru Cemerlang Sekolah Arab Belait (2021) dan Johan Celik Biz Competition (2021).


Manakala, Awang Philip Ong Chee Leong pula adalah pemilik Syarikat Brugoat Farming & Trading Sdn. Bhd. dan sejak 2015 dengan mengusahakan ladang kambing menggunakan teknologi ternakan intensif secara sistem fidlot. Perusahaan berkenaan telah menyumbang sebanyak 21 peratus kepada industri penternakan kambing di negara ini dengan nilai keseluruhan BND429,440 bagi 2023, dengan keluasan ladang 34 hektar di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Merangking dan 19 hektar di KKP Sungai Petai, Labi di Daerah Belait serta mempunyai tiga pekerja tempatan dan 77 pekerja asing yang kebanyakannya buruh kasar.


Syarikat beliau adalah pengusaha yang pertama menternak baka biri-biri Dorper secara intensif dan berhasrat untuk memperkenalkan daging segar Dorper kepada pembeli tempatan. Beliau mempunyai semangat daya maju untuk mengembangkan industri pembekalan sumber daging merah daripada ternakan kambing bagi penduduk di negara ini.


Sementara itu, Dayang Durratul Ain binti Abdul Rahman Letan merupakan pengusaha produk kraf tangan Satu Kampung Satu Produk (1K1P), Majlis Perundingan Kampung Melilas dan mempunyai kemahiran dalam menghasilkan produk kraf tangan yang diwarisi sejak beberapa generasi (melebihi 150 tahun) yang lalu dan merupakan seorang pengusaha produk kraf tangan 1K1P di bawah MPK Melilas, serta pernah mengikuti jualan di dalam dan luar negara (Thailand, 2017).


Selain itu, beliau juga merupakan tenaga pengajar bagi seni anyaman di Pusat Pembangunan Belia, Kuala Belait yang dikenali sebagai memiliki hasil tangan yang halus sehingga dijemput untuk mengajar Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman dan beberapa ahli kerabat diraja.


Hasil kerja tangan beliau telah menyumbang kepada meningkatnya pendapatan hasil anyaman 1K1P di Daerah Belait yang menjadikan bidang anyaman dan kraf tangan kedua tertinggi dalam meraih pendapatan pada suku tahun pertama tahun ini dengan hasil jualan di antara BND300 hingga BND2,000 sebulan.


Manakala, Dayang Ann Michelle Rahman binti Suhaili merupakan Guru Tingkat II, Institute of Brunei Technical Education (IBTE) Sultan Bolkiah Campus, Seria. Beliau adalah seorang pendidik yang berdedikasi dan telah dianugerahkan Guru Cemerlang (2023) atas komitmen beliau dalam melaksanakan beberapa projek seperti mengadakan Kempen Go Green di IBTE Sultan Bolkiah Campus dengan antaranya menganjurkan Kempen Beach Clean Up dan seterusnya menubuhkan kerjasama dengan DAIKYO dengan penyediaan tong kitar semula untuk kampus pada April 2016 bagi mendidik generasi muda mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dengan penerapan kitar semula.


Selain itu, menyelia, mencipta dan meminda program perniagaan di bawah IBTE seperti mengadakan Hari Terbuka Sekolah Perniagaan, Kempen Sumbangan Amal anjuran pelajar Program Business School bagi keluarga kurang berkemampuan di Daerah Belait (2016) serta mengadakan Sumbangan Amal Titian Kasih pada bulan Ramadan anjuran YES Centre dan IBTE Sultan Bolkiah Campus.


Rakyat dan penduduk Daerah Belait merafak sembah dan menzahirkan doa agar Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia dan sihat sejahtera buat Kebawah DYMM serta kekal karar memerintah negara dalam keadaan selamat sejahtera di bawah inayah Allah jua. Dirgahayu Kebawah Duli Tuan Patik.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto