Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
36 penerima dikurniakan Bintang-bintang Kebesaran NBD
05/08/2024

hm_050824.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam (NBD) kepada 36 penerima sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78, berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, di sini.


Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran NBD didahului dengan pengurniaan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) kepada 30 penerima.


Para penerima terdiri daripada 17 pegawai dari Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan 13 pegawai dari JPM.


Sementara itu, seramai enam orang dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kelima (P.U.B) terdiri daripada seorang pegawai dari JPM dan lima pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).


Juga berangkat dan hadir dalam istiadat berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengiran-pengiran Peranakan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.


Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran NBD diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto