Tadbir urus yang baik sememangnya menjadi asas kepada masyarakat yang berkembang maju, bukan sahaja merangkumi integriti dan kecekapan institusi, tetapi juga keterangkuman dan responsifnya terhadap keperluan dan aspirasi rakyat.
Di ASEAN, di mana kepelbagaian memenuhi matlamat bersama, usaha mencapai tadbir urus yang baik melibatkan kedua-dua cabaran dan peluang unik untuk pertumbuhan dan kerjasama.
Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin, menyatakan demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Forum on Good Governance, salah satu program Mesyuarat-mesyuarat ASEAN Cooperation on Civil Service Matters (ACCSM) Ke-22 dan ACCSM Plus Three Ke-7, diadakan di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei.
Awang Ajman yang juga selaku Ketua Delegasi ACCSM Negara Brunei Darussalam berkata, tema tahun ini adalah tepat pada masanya ketika kita berada di persimpangan inovasi teknologi dan pentadbiran awam.
“AI bukan lagi visi yang jauh tetapi kuasa transformatif yang sudah membentuk semula industri, ekonomi dan masyarakat. Dalam sektor awam, AI menawarkan potensi untuk mengubah secara asas cara kita mentadbir, melibatkan diri dengan rakyat dan menyampaikan perkhidmatan," jelasnya.
Menurut Awang Ajman lagi, tema berkenaan juga sejajar dengan Pelan Kerja ACCSM 2021-2025, khususnya Bidang Keutamaan 1, yang memfokuskan kepada peningkatan kompetensi dan standard tenaga kerja dalam sektor awam, dan Bidang Keutamaan 5, yang menekankan reformasi dan pemodenan sektor awam.
Dengan meneroka peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam bidang ini jelasnya, kita dapat membuka laluan baharu untuk memajukan tadbir urus dan mencapai kemajuan yang bermakna di seluruh kawasan kita. Namun di sebalik kemajuannya, AI memberikan risiko seperti kebimbangan etika, isu privasi data dan keperluan untuk peraturan yang mantap.
Justeru, menangani cabaran ini, tambah Awang Ajman memerlukan pendekatan pelbagai disiplin, melibatkan suara daripada industri, akademik, masyarakat sivil dan kerajaan.
“Saya berharap forum AI ini akan menjadi peluang berharga bagi para profesional untuk memperdalam pemahaman mereka tentang AI, menjalin rangkaian dengan rakan sejawat, dan mengembangkan strategi yang boleh dilaksanakan untuk organisasi mereka. AI adalah kekuatan transformatif dalam hidup kita, dan ia akan terus mempengaruhi aktiviti harian kita.
“Oleh itu, saya menggalakkan semua yang hadir untuk bekerjasama dalam semangat kerjasama ASEAN yang terbaik, memanfaatkan sepenuhnya potensi AI untuk memajukan tadbir urus yang baik dan memperbaiki kehidupan rakyat kita," ujar Awang Ajman.
Dengan bertemakan 'Revolutionizing the Public Sector : Artificial Intelligence for Good Governance', Forum on Good Governance menampilkan pembentangan dan perbincangan panel terhadap isu-isu kritikal berhubung peranan urus tadbir yang baik dalam era digital, yang mana Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Datastreams dari Republik Korea, Lee Young-Sang, selaku panel utama forum, menyampaikan pembentangan bertajuk 'Accomplishing the Value of Good Governance on The Digital Platform Service'.
Forum seterusnya menampilkan sesi perkongsian dari Malaysia dan Thailand tentang pencapaian pelaksanaan strategi-strategi AI dalam meningkatkan urus tadbir di negara masing-masing, yang mana Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) Malaysia, Rushdi Rahim, membentangkan mengenai 'AI for Good Governance : Malaysia's Story', manakala Pengarah Eksekutif National Electronics and Computer Technology Center (NECTEC), Thailand, Dr. Chai Wutiwiwatchai, pula menyampaikan mengenai 'AI Thailand Strategy : From the Plan to Action'.
Pada penghujung Forum, Penolong Naib Canselor (Pelajar, Alumni dan Perkhidmatan), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dr. Au Thien Wan, selaku Moderator mengadakan sesi perbincangan dan bertukar-tukar idea bersama ahli-ahli panel forum mengenai hala tuju urus tadbir digital.
Forum on Good Governance tersebut dihadiri oleh Ketua-ketua Perkhidmatan Awam serta para delegasi dari Negara-negara Anggota ASEAN, Negara-negara ASEAN Plus Three dan Republik Demokratik Timor-Leste.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam dan wakil-wakil dari Institusi Pengajian Tinggi di Negara Brunei Darussalam serta perwakilan dari agensi-agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto