Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kemajuan AI berpotensi tingkatkan kecekapan, produktiviti kerja
07/08/2024

jpm_070824.jpg

Dunia kerja yang berkembang, didorong oleh kemajuan teknologi, perbandaran, dan permintaan yang semakin meningkat untuk fleksibiliti kerja, terus membentuk landskap Perkhidmatan Awam (PA) di ASEAN.

 

Untuk menyesuaikan ekonomi dengan pertumbuhan Asia dan memanfaatkan teknologi untuk komunikasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, PA mesti meningkatkan keupayaan untuk berfungsi dengan berkesan dalam landskap yang sedang berkembang ini.

 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin, selaku Head of Civil Service (HSC) ASEAN Cooperation on Civil Service Matters (ACCSM) Negara Brunei Darussalam, dalam ucapan alu-aluannya semasa Sesi Plenari bagi Mesyuarat HCS ACCSM Kali Ke-22 yang berlangsung di The Empire Brunei, di sini.

 

Menurutnya, rantau ASEAN berada pada persimpangan kritikal dalam mengejar masa depan digital, di mana kemajuan pesat dalam kecerdasan buatan (AI) memberikan kedua-dua peluang dan cabaran untuk sektor awam.

 

Oleh itu tekannya, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memanfaatkan kuasa AI untuk kebaikan rakyat dan memastikan PA diperkasakan untuk memenuhi tuntutan abad ke-21.

 

“Integrasi AI dalam penyampaian PA berpotensi untuk meningkatkan kecekapan kerja dengan ketara; meningkatkan produktiviti; memperbaiki proses membuat keputusan dan memperkemas penyampaian perkhidmatan kepada rakyat kita. Semasa kita bergerak ke hadapan, adalah penting untuk membangunkan strategi yang kukuh untuk membimbing penggunaan AI yang bertanggungjawab dalam sektor awam. Ini termasuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan pertimbangan etika dalam pembangunan dan penggunaan sistem AI," ujarnya lagi.

 

Di samping menerima kemajuan teknologi ujarnya, mereka juga mesti mengutamakan kesejahteraan kakitangan sektor awam, kerana permintaan zaman digital boleh menjadi sangat membebankan, dan menjadi tanggungjawab mereka sebagai pemimpin untuk menyokong penjawat awam dalam mengekalkan keseimbangan kerja-kehidupan (work-life balance) yang sihat.

 

Jelasnya, ini termasuk melaksanakan strategi untuk menggalakkan kesedaran kesihatan mental, menyediakan akses kepada perkhidmatan kaunseling, dan memupuk budaya komunikasi dan sokongan terbuka.

 

Dengan menangani bidang-bidang utama ini menurutnya, mereka boleh memastikan PA sesuai untuk masa hadapan, memanfaatkan kemajuan teknologi untuk tadbir urus yang berkesan.

 

“Marilah kita merebut peluang ini untuk menonjolkan ASEAN sebagai peneraju dalam revolusi digital, bekerjasama untuk mencipta masa depan yang lebih cerah untuk rakyat kita," jelasnya lagi.

 

Dengan tema 'Strengthening ASEAN Public Sector: Fit for The Future', Mesyuarat ACCSM antara lainnya, adalah mengenai penyediaan draf ASEAN Statement on Strengthening Government Strategies on Mental Health and Well-Being Towards Achieving Work-Life Balance (WLB) in Public Sector.

 

Kenyataan berkenaan menggariskan definisi standard mengenai keseimbangan tuntutan kerja dan kehidupan (work life balance) dalam sektor awam ASEAN dan akan menjadi panduan untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan mental dalam sektor PA ASEAN.

 

Sesi Plenari bagi Mesyuarat HCS ACCSM Kali Ke-22 telah dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perkhidmatan Awam, Kemboja, Tuan Yang Terutama Hun Many, selaku Timbalan Pengerusi ACCSM; dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dr. Kao Kim Hourn; serta Ketua-ketua Perkhidmatan Awam bagi Negara-negara Anggota ASEAN.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto