Pameran Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Ke-19 Tahun 2024 yang melibatkan lebih 20 pameran, mengetengahkan empat fokus utama iaitu Kluster Ilmu dan Kemahiran; Kluster Kualiti Hidup yang Tinggi; Kluster Pembangunan Mampan dan Kluster Projek Cemerlang untuk Belia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan pameran-pameran tersebut.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Pameran HBK 2024 diadakan selama dua hari iaitu Rabu, 2 Safar 1446 / 7 Ogos 2024 hingga Khamis, 3 Safar 1446 / 8 Ogos 2024 bertempat di Ruang Legar, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan dijunjung bagi melancarkan Sosial Media Instagram Hab Belia pada pameran tersebut.
Platform Instagram Hab Belia merupakan satu inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi membarigakan semua aktiviti sektor kebeliaan di bawah KKBS kepada orang ramai khususnya kepada golongan belia untuk mencapai jaringan yang lebih luas dan komprehensif.
Ia juga merupakan satu platform untuk menarik lebih banyak penyertaan golongan sasaran terutama belia untuk mengikuti apa jua program kebeliaan di bawah KKBS dan ruang untuk berkomunikasi serta pertukaran idea sesama para belia.
Konsep sambutan dan pameran ini akan lebih memfokuskan kepada 'Belia Berwawasan' iaitu mempamerkan sumbangan para belia melalui aktiviti-aktiviti persatuan atau pergerakan yang menjurus kepada pengukuhan budaya perpaduan termasuk sumbangan belia secara individu yang mendukung Wawasan Brunei 2035 ke arah membina sebuah negara yang dinamik, makmur dan inklusif yang berkonsepkan kepada Melayu Islam Beraja (MIB), kesukarelawanan, kemasyarakatan dan khidmat bakti belia.
Kluster Ilmu dan Kemahiran mempamerkan serta menonjolkan organisasi-organisasi yang menawarkan pelbagai program dan platform untuk meningkatkan serta menjana kemahiran para belia khususnya dalam bidang kajian berimpak tinggi, teknovasi dan industri kreatif.
Sementara, Kluster Kualiti Hidup yang Tinggi pula mempromosikan program serta projek belia yang telah berhasil dan berjaya membantu pelbagai lapisan masyarakat, termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU). Fokus utama adalah dalam aspek penyediaan perkhidmatan gaya hidup sihat, perlindungan sosial, dan penjagaan alam sekitar.
Dengan menonjolkan kejayaan-kejayaan ini, kluster ini bukan sahaja memperlihatkan impak positif yang dicapai tetapi juga menginspirasi generasi muda untuk terus berinovasi dan berbakti kepada masyarakat.
Manakala, bagi Kluster Pembangunan Mampan bertujuan untuk membarigakan sumbangan dan pencapaian belia dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan, sejajar dengan matlamat ketiga Wawasan Brunei 2035 iaitu mewujudkan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Inisiatif ini merangkumi pelbagai usaha belia dalam mengurangkan kadar pengangguran di negara ini, serta memacu inovasi dan keusahawanan.
Kluster Projek Cemerlang untuk Belia pula mempamerkan tiga Projek serta dua bekas pemenang projek bagi Kategori Projek Cemerlang Untuk Belia. Projek yang dipilih merupakan contoh terbaik kreativiti, inovasi dan komitmen para belia dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan progresif. Projek-projek ini mencerminkan dedikasi yang tinggi dalam menyokong Wawasan Brunei 2035 dan mendukung nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).
Antara yang turut menyertai pameran bagi Kluster Projek Cemerlang untuk Belia tersebut ialah As-Sehha Group. Pengasas As-Sehha Group, Dayang Hajah Hairul Ezza binti Md. Kairul Anwar ketika ditemui berkata bahawa As-Sehha Group ditubuhkan pada Januari 2023 dengan misi menggalakkan orang ramai yang untuk mengamalkan hidup sihat dengan menyediakan pelbagai produk makanan yang berkhasiat. As-Sehha Group merupakan sebuah perniagaan yang menghasilkan YEGGOO iaitu telur Pasteur pertama di Negara Brunei Darussalam.
“As-Sehha Group telah menghasilkan empat produk iaitu Pasteurized Liquid Whole Egg, Pasteurized Shell Eggs, Pasteurized Liquid Egg Whites dan Pasteurized Liquid Egg Yolk. Kesemuanya telah pun diuji makmal dan terbukti tiada bakteria Salmonella. Dua antara produk kami juga mendapat Healthier Choice logo (egg whites and whole egg).
“Proses pasteurisasi ini bertujuan untuk membunuh kuman dan bakteria Salmonella yang kemungkinan ada pada telur berkenaan. Pasteurized Liquid Whole Egg adalah telur yang telah dijadikan cecair dan disimpan dalam botol yang tersedia sekurang-kurangnya mengandungi 10 biji telur dalam satu botol.
“Produk ini dipasarkan dengan harga BND6.50 sebotol. Manakala, Pasteurized Shell Eggs dijual dengan harga BND6 per karton adalah telur yang sudah di Pasteur tanpa dipecahkan lalu disimpan dalam bekas tray.
“Ia pilihan yang sihat dan sesuai untuk keluarga yang mementingkan kesihatan dan mempunyai kebimbangan terhadap keselamatan makanan. Liquid Egg Whites pula berharga BND5.50 sebotol 500ml dan Liquid Egg yolk BND7.50 sebotol," ujarnya.
Manakala, dari Kluster Hidup yang Tinggi, Dayang Nur Nadia Natasha binti Ali dari Brumi Lestari (SDG Winner Responsible Production) mengongsikan mengenai projek mereka iaitu 'food waste'.
Menurut beliau, satu pertiga daripada 'total waste' di negara ini datangnya dari makanan dan minuman.
“Jadi, kami dari Brumi Lestari ingin menyelesaikan masalah tersebut dengan memberikan 'food waste reporting and consultation service' di mana kami mencari 'food waste pattern' dan solusi kepada para pelanggan," terangnya.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto