Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Ke-19, Tahun 2024 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-19, Tahun 2024 dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Seterusnya sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sejurus itu, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah.
Atur cara kemudian diteruskan lagi dengan Ikrar Belia yang dibacakan oleh seramai 50 orang iaitu 25 lelaki dan 25 perempuan, termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU).
Pasukan Ikrar Belia ini terdiri daripada belia-belia yang mewakili Institut Pengajian Tinggi (IPT), berpersatuan dan berprofesi serta belia yang berprofesion dari sektor kerajaan dan swasta.
Bacaan Ikrar Belia diketuai oleh Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid selaku Pembaca Utama yang merupakan Johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Kebangsaan 1445 / 2024 serta Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Pusat Pekerjaan Brunei, Pejabat Tenaga Manusia, Awang Mohd Khairul Hasbullah bin Haji Anuar; dan Penolong Pengurus Hubungan Antrabangsa dan Kerjasama, Pejabat Pengurusan Strategik, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Dayang Azrina binti Hidup, selaku pengiring.
Majlis disusuli dengan tayangan video utama yang memaparkan perjalanan kehidupan belia-belia yang diilhamkan daripada kisah benar yang memperlihatkan cabaran, usaha, kejayaan dan kesatuan belia dalam mencapai sesuatu matlamat yang terdiri daripada latar belakang yang berbeza.
Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan belia yang menampilkan satu inovasi kebudayaan orang-orang Brunei iaitu berbalas pantun belia.
Persembahan belia itu tidak hanya sebagai wadah untuk mempromosikan seni warisan pantun Melayu, ia juga menekankan nilai nasihat dan kearifan yang dipersembahkan melalui pantun-pantun berkenaan.
Kemuncak acara Sambutan HBK Ke-19, Tahun 2024 pula ialah penyampaian Anugerah HBK Ke-19, Tahun 2024 dalam empat kategori iaitu Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang Untuk Belia yang disempurnakan oleh Kebawah DYMM .
Penerima Anugerah Belia Cemerlang 2024, dianugerahkan kepada Dayang Basma Lachkar dengan menerima wang tunai BND3,000, Trofi dan Sijil Penghargaan serta sebidang Kain Tenunan Brunei iaitu Kain Jong Sarat Bunga Bintang Gemilang dan pakej percutian ke Istanbul, Turkiye sumbangan Balurih Travel Sdn. Bhd.
Seterusnya, Penerima Anugerah Belia Berkhidmat 2024, dianugerahkan kepada Awang Muhammad Haziq Hisyam bin Mohd Zaki menerima wang tunai sebanyak BND3,000, Trofi dan Sijil Penghargaan serta sebidang Kain Tenunan Brunei iaitu Kain Bertabur Bunga Permata Bangsa dan pakej percutian ke Istanbul, Turkiye sumbangan Balurih Travel Sdn. Bhd.
Manakala, Penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia 2024, dianugerahkan kepada Awang Mohammad Ashmeer Imitiaz Ahmad dengan menerima wang tunai BND3,000, Trofi dan Sijil Penghargaan serta sebidang Kain Tenunan Brunei iaitu Kain Jong Sarat Bunga Kebahagiaan dan pakej percutian ke Istanbul, Turkiye sumbangan Balurih Travel Sdn. Bhd.
Manakala, Penerima Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia, dianugerahkan kepada Lamin Warisan dengan menerima wang tunai BND3,500, Trofi serta Sijil Penghargaan.
Seterusnya, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung berangkat ke Pameran Sambutan Hari Belia di Ruang Legar, pusat berkenaan.
Baginda seterusnya dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan dan berkenan menerima pesambah dari Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-19, Tahun 2024.
Setelah itu, baginda serta kerabat diraja dijunjung bagi Majlis Santap, dan sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM serta kerabat diraja dijunjung bagi sesi bergambar ramai.
Tema Sambutan HBK Ke-19 tahun ini adalah dikekalkan seperti tahun-tahun sebelumnya (tahun 2019, 2020, 2021, 2022 dan 2023) iaitu 'Belia Siaga Masa Depan', yang masih lagi relevan dengan situasi dengan penumpuan kepada konsep sambutan iaitu Aspirasi Belia yang mengetengahkan bahawa belia adalah tonggak utama negara.
Konsep juga tertumpu dalam mempersiapkan diri belia dengan 'acuan' yang berkualiti tanpa meninggalkan nilai kebruneian; Kesiagaan Belia dalam mewujudkan ekosistem pembangunan belia yang dinamik, mapan dan inklusif; Strategi untuk mempersiapkan belia siaga masa depan dengan tanggungjawab bersepadu; Mempelajari dan mengamalkan Maqasid Syariah sebagai landasan utama dan membentuk sahsiah; dan Memanfaatkan teknologi dan kemahiran digital​.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
​