Seramai lima penerima Anugerah Biasiswa Sultan's Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bagi Sesi Pengajian Tahun 2024/2025 menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa mereka pada satu majlis yang berlangsung di Dewan An-Naura, Tingkat 2, Kompleks YSHHB, di sini.
Majlis Penandatanganan Perjanjian tersebut adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa Sultan's Scholar YSHHB bagi Sesi Pengajian 2024/2025 yang telah berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Para penerima Biasiswa Sultan's Scholar berkenaan terdiri daripada Dayang Nur Hidayah Haziyah binti Handrie; Awang Muhammad Asfa Radhi bin Mohammad Yusran; Awang Muhammad Nafeez bin Haji Arbaie; Awang Muhammad Afiq bin Abdul Rahman dan Awangku Mohammad Idris Fadhlee bin Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan, Pengiran Haji Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain, yang juga Alumni Sultan's Scholar YSHHB.
Acara majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi kelima-lima penerima biasiswa yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat.
Manakala bagi pihak YSHHB pula, penandatanganan diwakili oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB bersama dengan Penolong Pengarah Urusan YSHHB, Awang Haji Abdullah@Dollah bin Haji Ahad, dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima Biasiswa Sultan's Scholar YSHHB yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.
Turut hadir pada majlis ini ialah Lembaga Pengarah YSHHB; Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa Sultan's Scholar YSHHB; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa Sultan's Scholar YSHHB, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima Anugerah Biasiswa Sultan's Scholar YSHHB; pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai YSHHB; Alumni Sultan's Scholar YSHHB; dan sebahagian pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.
Sejajar dengan salah satu matlamat utama Wawasan Brunei 2035 iaitu bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Skim Biasiswa Sultan's Scholar YSHHB adalah program pembangunan kapasiti manusia yang bertujuan bagi melahirkan generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, bangsa, raja dan negara serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto