Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Bincang hala tuju strategik Syarikat BSP
02/09/2024

hm_0209242.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Pengarah Urusan Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP), Agnete Johnsgaard-Lewis, yang telah menamatkan perkhidmatannya, dan Johan Atema, bakal Pengarah Urusan BSP yang baharu.

 

Pada majlis mengadap berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi Lembaga Pengarah-pengarah Syarikat Usahasama Brunei Shell (BSJV) bersama dengan kedua-dua Pengarah Urusan BSP yang telah menamatkan perkhidmatan dan juga yang baharu, membincangkan hala tuju strategik Syarikat BSP.

 

Perbincangan berkenaan mengetengahkan komitmen Syarikat BSP untuk menyumbang kepada pertumbuhan industri minyak dan gas Negara Brunei Darussalam dan seterusnya menekankan kepentingan untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin antara BSJV dan The Asiatic Petroleum Limited (Shell plc).

 

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi Bin Haji Mohd. Hanifah, selaku Ahli-ahli Lembaga Pengarah-pengarah BSJV.

 

Majlis mengadap diadakan di Istana Nurul Iman, petang tadi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto