Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
YSHHB hulur sumbangan bagi aktiviti takmir masjid
03/09/2024

mjpm_030924.jpg

Seiring dengan pendekatan senegara yang mantap Whole of Nation Approach dalam bekerjasama dengan beberapa agensi yang berkepentingan bagi mempertingkatkan syiar Islam di negara ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) melalui program memakmurkan masjid memberikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND75,800  kepada sebahagian masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1446H / 2024M.


Sebanyak 72 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan tersebut, iaitu 29 buah masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara; 23 buah di Daerah Tutong; lapan buah di Daerah Belait dan 12 buah di Daerah Temburong.


Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan pada majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks YSHHB, di ibu negara.


Sumbangan kepada masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB; manakala masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Tutong dan Temburong disampaikan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB.


Turut hadir, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.


Penubuhan YSHHB ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto