Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Shri Narendra Modi, yang akan mengadakan Lawatan Rasmi selama dua hari ke Negara Brunei Darussalam.
Majlis Sambutan Rasmi dimulakan dengan Lagu Kebangsaan kedua-dua buah negara.
Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik India kemudiannya memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Pada majlis ini, Tuan Yang Terutama diperkenalkan kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Menteri Pengiring; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik India, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha; Ketua-ketua Perwakilan Asing di Negara Brunei Darussalam serta Setiausaha-setiausaha Tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudian disembahkenalkan kepada rombongan rasmi Republik India.
Juga hadir, Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri.
Lawatan Rasmi berkenaan merupakan lawatan pertama Tuan Yang Terutama sebagai Perdana Menteri Republik India ke Negara Brunei Darussalam.
TYT memulakan penggal ketiganya sebagai Perdana Menteri Republik India pada 9 Jun 2024.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto