Secara global, 17 peratus sahaja menepati Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Dengan hanya tinggal enam tahun lagi ke tahun 2030, keperluan mendesak perlu diambil tindakan tegas.
Dengan membawakan tema forum iaitu 'Mission Possible : Game-Changing Ideas for a Sustainable Future', ia merupakan masa yang tepat untuk membuat perubahan. Memandangkan Negara Brunei Darussalam (NBD) seiring dengan seluruh dunia menghadapi cabaran mendesak seperti perubahan iklim, kekurangan sumber dan jurang pembangunan yang semakin luas serta penyelesaian inovatif adalah merupakan suatu perkara penting.
Demikian dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dalam teks yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap (Wawasan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad pada Forum Sustainable Future Brunei Darussalam yang berlangsung di Rizqun International Hotel, hari ini.
“Kita mesti memanfaatkan peluang untuk mengubah tingkah laku kita, mengubah cara berfikir dan melabur dalam amalan lestari yang akan membimbing kita kembali ke landasan untuk mencapai SDGs.
“Saya gembira untuk berkongsi bahawa NBD sudah menyaksikan kuasa inovasi melalui inisiatif yang memperdayakan golongan muda kita untuk membangunkan dan mengkomersialkan penyelesaian menangani cabaran paling mendesak.
Program-program ini, melalui geran dan sokongan pihak kepentingan, membolehkan pemimpin muda mencipta idea yang bukan sahaja akan memberi inspirasi tetapi juga memacu pembangunan lestari," jelas Yang Berhormat.
Selain itu, terang Yang Berhormat lagi, kita sedang menyaksikan perkembangan menarik dalam kitaran ekonomi. Perniagaan di negara ini mula mengambil peluang yang dulunya dianggap tidak dapat dicapai. Contohnya, syarikat-syarikat mengubah sisa menjadi sumber berharga seperti mengompos sisa organik menjadi baja atau menyimpan air hujan untuk penggunaan.
Selain itu, juga telah menyaksikan peningkatan kedai rendah sisa yang beroperasi dengan model perniagaan pengisian semula, mengurangkan keperluan untuk plastik sekali guna. Inisiatif-inisiatif ini, walaupun masih dalam peringkat awal, merupakan tindakan berani dan berfikir ke hadapan di perlukan lebih banyak di negara ini.
Ini tambah Yang Berhormat, membawa beliau kepada satu titik penting iaitu peranan yang tidak dapat dielakkan bagi perniagaan dalam mendorong kelestarian. Sebagai enjin ekonomi kita, perniagaan mempunyai impak yang mendalam terhadap kemajuan kita menuju masa depan yang lestari.
Sama ada melalui penerapan amalan bertanggungjawab yang mengurangkan sisa dan emisi atau memanfaatkan kemajuan teknologi untuk menangani cabaran alam sekitar, sektor swasta adalah kunci kepada masa depan lestari kita.
Namun, tegas Yang Berhormat, kita tidak dapat melakukannya sendirian. Mencapai masa depan lestari memerlukan pendekatan seluruh negara. Ini bermakna setiap sektor masyarakat termasuk kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil dan individu mesti bekerjasama ke arah mencapai matlamat negara bersama. Kolaborasi bukan sekadar istilah; ia adalah asas di mana masa depan lestari kita akan dibina.
Dalam masa yang sama, masyarakat sivil dan individu mempunyai peranan penting. Kelestarian adalah tanggungjawab semua dan setiap tindakan adalah penting. Sama ada melalui pengurangan jejak karbon kita, menyokong perniagaan lestari atau memperjuangkan perlindungan alam sekitar yang lebih kuat, setiap daripada kita mempunyai peranan dalam mewujudkan masa depan yang lestari.
Oleh yang demikian, Yang Berhormat menyeru agar setiap peserta untuk mengambil peluang yang dikongsikan melalui forum ini. Jadikan hari ini menjadi hari inspirasi, hari di mana idea-idea baru dilahirkan dan di mana setiap daripada peserta membawa pulang dengan komitmen baharu untuk bertindak.
Kelestarian adalah tanggungjawab semua dan dengan bekerjasama, kita dapat mengubah misi kita menjadi realiti, memastikan masa depan lestari untuk NBD dan generasi yang akan datang.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto