Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof kini berada di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Kali Ke-42 dan Mesyuarat-mesyuarat yang Berkaitan Dengannya yang diadakan di Pusat Konvensyen Nasional, Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao pada 26 dan 27 September 2024.
Yang Berhormat merupakan menteri yang bertanggungjawab ke atas Tenaga turut diiringi oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Haji Rosli bin Haji Yacub; Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, selaku Ketua Pegawai Kanan Tenaga ASEAN bagi NBD dan pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di JPM.
Republik Demokratik Rakyat Lao sebagai tuan rumah kepada AMEM Kali Ke-42 dan Mesyuarat-mesyuarat yang Berkaitan Dengannya.
Menteri Tenaga dan Perlombongan, Republik Demokratik Rakyat Lao, Yang Berhormat Phosay Sayasone, selaku Pengerusi Mesyuarat AMEM Ke-42; dan Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Malaysia, Yang Amat Berbahagia Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, selaku Timbalan Pengerusi AMEM, bersama-sama merasmikan secara serentak Majlis Pembukaan bagi Mesyuarat AMEM Kali Ke-42 dan juga Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2024.
Dialog perbincangan dengan Timbalan Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) juga telah diadakan bersempena dengan Mesyuarat AMEM Kali Ke-42 itu.
Mesyuarat juga telah mengalu-alukan kehadiran Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor-Leste sebagai Observer.
Dengan bertemakan 'ASEAN : Enhancing Connectivity and Resilience', AMEM Ke-42 pada tahun ini menekankan kepentingan Mesyuarat AMEM sebagai landasan untuk memastikan bahawa usaha-usaha kolektif ASEAN di dalam mengukuhkan komuniti ASEAN bagi merebut peluang dan menangani cabaran semasa dan yang akan datang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Ia juga bertanggungjawab dalam memastikan perlaksanaan Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) yang mana pelan ini berperanan penting dalam memacukan keselamatan tenaga, kebolehcapaian, kemampuan dan kemampanan di dalam ASEAN.
Mesyuarat juga telah menekankan kemajuan di dalam membangunkan APAEC Pasca-2025 yang merujuk kepada Pelan Strategik AEC 2026-2030 yang mana menekankan kepentingan untuk mencipta pelan sektoral bagi menangani cabaran-cabaran tenaga yang berkembang di rantau ini dan 'megatrends' yang global.
AMEM Kali Ke-42 ini juga mengambil maklum akan kepentingan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan terutamanya Negara-negara Anggota ASEAN (AMS), Rakan Kongsi Dialog (DP) dan Organisasi Antarabangsa (IO) di dalam memastikan bahawa APAEC Pasca-2025 mencerminkan pelbagai perspektif dan keutamaan. Mesyuarat tersebut dengan itu telah menyokong tema bagi APAEC 2026-2030 iaitu Advancing Regional Cooperation in Ensuring Energy Security and Accelerating Decarbonisation for a Just and Inclusive Energy Transition.
Yang Berhormat Menteri di JPM and Menteri Pertahanan II, juga berkesempatan mengadakan sesi rangkaian dengan Ketua Perwakilan lain dari negara anggota ASEAN, termasuk Pengerusi Mesyuarat AMEM Kali Ke-42, Menteri Tenaga dan Perlombongan, Republik Demokratik Rakyat Lao, Yang Berhormat Phosay Sayasone; dan Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor-Leste Yang Berhormat Francisco Da Costa Monteiro.
Mesyuarat Peringkat Menteri itu juga telah mengadaptasi Kenyataan Bersama AMEM Kali Ke-42 dan juga Kenyataan Bersama AMEM +3 Kali Ke-21.
Selain daripada AMEM Kali Ke-42 ini, mesyuarat yang diadakan selama dua hari itu telah berlangsungnya beberapa buah Mesyuarat peringkat Menteri yang berkaitan iaitu Sesi Dialog antara Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan IEA dan IRENA; AMEM +3 Kali Ke-21; dan Mesyuarat Kemuncak Asia Timur Menteri-menteri Tenaga ASEAN Kali Ke-18 yang mana telah dipengerusikan oleh Republik Demokratik Rakyat Lao.
AMEM Kali Ke-43 seterusnya akan diadakan di Malaysia.
Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri