Majlis Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin serta Membaca Doa Khas sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Kali Ke-31 diadakan secara serentak di masjid-masjid utama di setiap daerah.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, tumpuannya adalah di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.
Hadir menyertai majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HPA Ke-31, Tahun 2024.
Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis kelolaan JPM ini dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Tingkat I, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Mohd. Hasnal bin Haji Mohammad, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin oleh Imam Tingkat I Masjid Omar Ali Saifuddein, Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusop.
Manakala Doa Khas sempena HPA Ke-31 dibacakan oleh Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.
Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Menteri di JPM, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan serta para pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam.
Tema Sambutan HPA Ke-31 ialah 'Keberdayatahanan dan Perpaduan Perkhidmatan Awam Pemangkin Kesejahteraan Negara'.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto