Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat ke Sambutan HPA Ke-31
30/09/2024

hm_300924.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Sambutan Kemuncak Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Kali Ke-31 Tahun 2024, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.


Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.


Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HPA Kali Ke-31, Tahun 2024.


Turut menjunjung keberangkatan Kebawah DYMM ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah selaku Timbalan-timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HPA Kali Ke-31, Tahun 2024.


Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Anfaal, ayat 45 hingga ayat 47 yang dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Zul-Hafiz bin Awang Tengah, sementara kesimpulan ayat pula dibacakan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, KHEU, Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang.


Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II.


Kebawah DYMM seterusnya berkenan mengurniakan titah dan melancarkan Buku Keluaran Khas 'Jasawan Perkhidmatan Awam : Meneruskan Legasi Sultan Omar Ali Saifuddien III Tokoh Jasawan Negara'.


Ini diikuti dengan sebuah tayangan video mengenai perisian buku tersebut, di mana Buku Keluaran Khas 'Jasawan Perkhidmatan Awam' bertajuk 'Jasawan Perkhidmatan Awam : Meneruskan Legasi Sultan Omar 'Ali Saifuddien III Tokoh Jasawan Negara' adalah bagi mengenang dan memberikan penghargaan ke atas sumbangan-sumbangan paduka ayahanda baginda, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II yang dimasyhurkan sebagai 'Tokoh Jasawan Negara' pada Sambutan HPA Kali Ke-30 pada tahun lepas dalam melakar pelbagai kemajuan, khususnya dalam sektor Ugama, Pendidikan, Pertahanan, Pentadbiran Awam dan Kebajikan, untuk rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.


Usaha-usaha dan sumbangan Al-Marhum di sepanjang pemerintahan Al-Marhum dalam pelbagai bidang berkenaan menjadikan Negara Brunei Darussalam (NBD) membangun dengan pesatnya serta mendatangkan impak yang besar kepada kestabilan, kemakmuran, kemajuan, dan perkembangan sosioekonomi negara yang terus dinikmati oleh rakyat dan penduduk negara ini.


Bagi menyerikan lagi majlis, sebuah persembahan menambang syair bertajuk 'Syair Perlembagaan Negeri Brunei' telah disampaikan oleh Guru Ugama Tingkat I, Jabatan Pengajian Islam; Awang Mohammad Jazmeen bin Tassim; dan Mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dayang Halimatus Rabeatul Saiedah binti Huzaimi.


Setelah itu, majlis sambutan diteruskan dengan tayangan klip video mengenai dengan Anugerah-anugerah Perkhidmatan Awam iaitu Anugerah Inovasi Perdana (AIP), Program Penggredan Prestasi Sektor Awam melalui Penarafan Bintang (3PSA), Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) dan Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB²PA) bagi Tahun 2024.


Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, JPM dan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan telah dikurniakan Anugerah 3PSA melalui Penarafan Bintang, yang mana Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah mendapat empat bintang yakni Sangat Baik dan sijil pengiktirafan, manakala Jabatan Perkhidmatan Farmasi telah mendapat tiga bintang yakni Baik dan sijil pengiktirafan.


Sementara itu, sebanyak tiga kumpulan telah dikurniakan AIP, yang mana kategori Anugerah Perak dianugerahkan kepada Kumpulan HEMAHEROES dari Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan yang menghasilkan Projek 'Implementation of Bloodkad Mobile Application Through Public-Private Partnership'; dan Kumpulan MUSAEADAT, Jabatanarah Pembangunan & Perkhidmatan Kerja, Kementerian Pertahanan yang menghasilkan Projek 'NAWHDS (Network Accessible Web Help Desk System)'.


Kedua-dua kumpulan masing-masing telah menerima Geran Pembelajaran / Projek berjumlah tidak melebihi BND5,000, sebuah piala dan sijil penghargaan.


Seterusnya, Anugerah Gangsa dianugerahkan kepada Kumpulan NLMS dari Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang menghasilkan Projek 'National Labour Management System'.


Kumpulan ini menerima Geran Pembelajaran / Projek berjumlah tidak melebihi BND3,000, sebuah piala dan sijil penghargaan.


Manakala, sebanyak lapan kumpulan masing-masing telah menerima sagu hati berupa piala dan sijil penghargaan.


Sementara itu, Kebawah DYMM telah memperkenankan bagi seramai 41 pegawai dan kakitangan kerajaan yang terdiri dari Bahagian II, III, IV dan V dari setiap kementerian untuk menerima APCPA tahun ini.


APCPA merupakan penghargaan dan pengiktirafan kepada warga Perkhidmatan Awam yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dalam memupuk budaya kerja yang sangat tinggi dalam perkhidmatan awam.


Anugerah tersebut diharap akan menjadi pendorong kepada meningkatkan lagi semangat, produktiviti, dan kualiti kerja dalam sama-sama berusaha ke arah merealisasikan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.


Penerima APCPA bagi setiap bahagian menerima sebuah plak, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND1,000.


Kebawah DYMM telah memperkenankan bagi penganugerahan AKB²PA kepada seramai tujuh orang penerima sebagai kakitangan kerajaan yang telah mengamalkan nilai-nilai murni serta sikap bertanggungjawab, titih, lutanan, berakhlak mulia dan berkeperibadian unggul yang sesuai dijadikan contoh tauladan kepada pegawai atau kakitangan lainnya.


Di samping kriteria berkenaan, kejayaan ahli keluarga juga merupakan salah satu kriteria dalam pemilihan anugerah ini, yang jelasnya bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan dalam bertugas, malah turut mengambil kira aspek keprihatinan, kesungguhan dan kasih sayang mereka terhadap anak-anak ke arah mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.


AKB²PA bertujuan untuk menghargai jasa dan bakti kakitangan dalam Bahagian V kepada organisasi, masyarakat sekeliling, keluarga, bangsa dan masyarakat.


Penerima AKB²PA menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND1,000.


Selesai tayangan video berkenaan, Kebawah DYMM kemudian berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan sijil-sijil penghargaan kepada para penerima anugerah-anugerah berkenaan.


Majlis diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Sebelum berangkat balik, Kebawah DYMM dijunjung bagi sesi bergambar ramai sebelum menghadiri Majlis Santap.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto