Dengan sub-tema 'Kesihatan Mental dan Sains', Seminar Majlis Ilmu 2024 bagi sesi kedua menampilkan beberapa pembentang yang antara lain terus membincangkan dan mengupas topik-topik yang berkaitan kesihatan mental, dasar kerajaan dalam menangani isu kesihatan mental dan langkah pencegahan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada seminar yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Dengan tajuk kertas kerja 'Emotional Regulation and Mental Health' yang disampaikan oleh Pegawai Psikologi dan Ketua Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Dayang Hani Haryana binti Haji Maidin, antara lain menyentuh mengenai pendekatan holistik yang mengintegrasikan pelbagai strategi untuk menangani emosi dan kesihatan mental yang komprehensif dalam memupuk kesejahteraan emosi dan meningkatkan kualiti kehidupan secara keseluruhan.
Sementara itu, Konsultan Psikiatris, Jabatan Psikiatri, Kementerian Kesihatan, Dayangku Dr. Raidah Hayati binti Pengiran Dr. Haji Mohamed pula menyampaikan kertas kerja yang bertajuk 'Long Term Effects Of Stress On Mental Health And How To Manage It'.
Antara inti pati yang dapat diambil dalam pembentangan berkenaan ialah penting untuk menyedari bahawa pengurusan tekanan adalah perjalanan peribadi dan berbeza pendekatan yang berkesan untuk setiap individu.
Penilaian diri yang kerap boleh membantu mengenal pasti strategi yang berkesan dan memupuk daya tahan terhadap tekanan masa depan dengan mengutamakan pengurusan tekanan, individu boleh meningkatkan kesejahteraan mental dan kualiti hidup secara keseluruhan.
Manakala, Penolong Profesor, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Deeni Rudita bin Idris pula menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Stigma Terhadap Kesihatan dan Penyakit Mental Dalam Kalangan Penjaga Tidak Formal Bagi Pesakit Psikiatri Di Brunei Darussalam'.
Beliau membincangkan bahawa media sosial memainkan peranan dalam meningkatkan akses kepada maklumat, pengetahuan, dan tahap kesedaran mengenai kesihatan mental dan penyakit mental, seterusnya memperbaiki tingkah laku pencarian rawatan kesihatan, terutama dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Setiausaha-setiausaha Tetap, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Naib Canselor UBD, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan, para jemputan khas, para pembentang kertas kerja, pegawai dan kakitangan dari pelbagai kementerian dan jabatan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto