
Hari Guru yang disambut pada 23 September setiap tahun di Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah bagi memperingati dan menghargai sumbangan jasa para pendidik di negara ini.
Sambutan yang bertemakan 'Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan', dengan tambahan sub-tema yang memfokuskan kepada 'Pendidikan Untuk Dunia Yang Terus Berubah' berkenaan adalah sebagai usaha untuk memartabatkan profesion perguruan yang banyak menyumbang kepada pembangunan kapasiti tenaga manusia negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru NBD Ke-34, Tahun 2024 yang diadakan pagi tadi di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan Kebawah DYMM dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Pengerusi Bersama Majlis serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru NBD Ke-34, Tahun 2024.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah khusus buat ayahanda Kebawah DYMM, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis diteruskan dengan bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran iaitu Surah Ali Imran, ayat 7 dan 18, Surah Fathir, ayat 28, Surah Az-Zumar, ayat 9 dan Surah Al-Mujadalah, ayat 11 oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Kampung Mentiri, Awang Ashizal bin Zainal Abidin dan Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awangku Md. Ammarrul Amsyar bin Pengiran Haji Marjuki. Manakala inti sari ayat disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Syariah di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hafini bin Mahmud.
Seterusnya sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah dan kemudian diikuti dengan titah Kebawah DYMM.
Sejurus itu diteruskan dengan tayangan klip video Hari Guru yang menceritakan pengorbanan dan pengalaman seorang guru yang bertugas di salah sebuah sekolah rendah di kawasan pedalaman, diikuti dengan montaj yang memaparkan pembangunan pendidikan di NBD; mempamerkan pengintegrasian mata pelajaran ugama ke dalam sistem pendidikan umum; pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM); pendidikan inklusif; perkembangan sekolah swasta serta transformasi digital dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti demi melahirkan insan-insan inovatif dan cemerlang.
Majlis juga turut diserikan dengan persembahan utama iaitu nyanyian Kompilasi Lagu-Lagu Medley bertajuk 'Jasamu Guru', 'Guru Oh Guru' dan 'Terima Kasih Cikgu', diikuti dengan Lagu Hari Guru Ke-34 yang bertajuk 'Guruku Pemacu Masa Depan'. Persembahan berkenaan merupakan gabungan seramai 34 pelajar dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Sekolah Rendah Tungku, Sekolah Kesuma Mekar dan Sekolah Ugama Perpindahan Lambak Kanan Jalan 77, Bandar Seri Begawan.
Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah-anugerah Hari Guru Ke-34, Tahun 2024 kepada para penerima yang terdiri daripada empat penerima Anugerah Guru Berjasa, sembilan penerima Anugerah Guru Cemerlang dan 30 penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention).
Empat penerima Anugerah Guru Berjasa berkenaan ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin; Dato Paduka Haji Sheikh Adnan bin Sheikh Mohamad; Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Damit; dan Awang Haji Mohsin bin Abu Bakar.
Penerima Anugerah Guru Berjasa menerima beberapa anugerah seperti Sijil Penghormatan, wang tunai sebanyak BND12,000, cenderamata dan kemudahan perubatan percuma, termasuk segala perbelanjaan wad kelas pertama di hospital-hospital kerajaan dalam negara.
Manakala, penerima Anugerah Guru Cemerlang masing-masing menerima Sijil Penghormatan, wang tunai sebanyak BND4,000, cenderamata dan diberikan keutamaan / disokong untuk melanjutkan pelajaran (tertakluk kepada syarat-syarat Latihan Dalam Perkhidmatan), sementara penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) pula menerima Sijil Penghormatan, wang tunai sebanyak BND1,000 dan trofi.
Di akhir majlis, Kebawah DYMM serta kerabat diraja dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Guru NBD Ke-34, Tahun 2024.
Kebawah DYMM juga berkenan berangkat menyaksikan Pameran sempena Sambutan Hari Guru Ke-34, Tahun 2024 di Press Conference Hall, yang mana Konsep Pameran Sambutan Hari Guru pada tahun ini memfokuskan kepada STEAM yang melibatkan pelajar-pelajar dari sekolah rendah, menengah, institusi vokasional dan teknikal serta pengajian tinggi, yang menjurus kepada dua bahagian selaras dengan tema sambutan tahun ini iaitu Ruang Centrepiece dan Ruang Pameran.
Sebelum berangkat meninggalkan Pusat Persidangan Antarabangsa, Kebawah DYMM juga berkenan menerima junjung ziarah daripada guru-guru, pelajar-pelajar, siswa dan siswi dari pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta peserta-peserta persembahan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto