Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan YSHHB
05/10/2024

mjpm_051024.jpg

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena Sambutan Jubli Perak Menaiki Takhta.


Penubuhan YSHHB adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli kerabat baginda, iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.


Sehubungan itu petang tadi, YSHHB mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan YSHHB Yang Ke-32 Tahun bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks YSHHB, di sini.


Berangkat ke majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB.


Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof selaku Ahli-ahli Jemaah Tadbir YSHHB.


Turut menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB; dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.


Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murad, dan sejurus itu diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dan bacaan Doa Kesyukuran sempena 32 tahun penubuhan YSHHB.


Sepanjang 32 tahun penubuhannya, YSHHB telah melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti untuk meningkatkan dan merangsang perkembangan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat dan penduduk NBD sekali gus memenuhi aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.


Dalam apa juga perancangan dan pelaksanaan program, projek dan aktivitinya, YSHHB sentiasa mendukung penuh agenda pembangunan negara sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.


Terbaharu pada September 2024, YSHHB telah menerima Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN Ke-7, Tahun 2024. Penganugerahan berkenaan adalah mengambil kira bantuan-bantuan dan sumbangan YSHHB melalui Program Sara Diri.

Program berkenaan telah membantu golongan keluarga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah untuk memulakan perniagaan dengan diberikan latihan kemahiran dan bantuan modal yang dipantau sehingga mereka berjaya dan mandiri seterusnya membantu keluarga lain yang baharu berkecimpung dalam bidang perniagaan.


Program Sara Diri berkenaan dilaksanakan sejajar dengan visi YSHHB, iaitu memperkasa Masyarakat Mandiri.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto