Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Bersama tangani isu penyalahgunaan, pengedaran dadah
08/10/2024

mjpm_0810241.jpg

Penyalahgunaan dadah adalah satu isu global yang memberi impak yang mendalam terhadap individu, keluarga serta masyarakat kita. Ia bukan sahaja memusnahkan kehidupan ribuan orang, tetapi juga memberi kesan negatif kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.


Sehubungan itu, sebagai usaha untuk menyemarakkan lagi Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram di negara ini, Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah melancarkan Kurnia Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, hari ini.


Selaras dengan itu, satu forum turut diadakan dengan tema sambutan tahun ini iaitu 'Memperkasa Masyarakat Masa Depan Tanpa Dadah'.


Majlis yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, Jerudong itu dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku tetamu kehormat majlis.


Terdahulu, Pengarah BKN, Dato Paduka Haji Mohd. Zalani bin Haji Ismail dalam ucapan alu-aluannya berkata perjuangan kita dalam menangani isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah ini bukanlah sesuatu yang mudah dan singkat. Namun, dengan kerjasama dan kesedaran bersama, kita mampu membina generasi yang lebih sihat dan berdaya saing.


'Memperkasa Masyarakat Masa Depan Tanpa Dadah' jelasnya adalah merupakan tema sambutan tahun 2024 iaitu mengajak semua pihak untuk mengambil langkah proaktif dalam mendidik, menyokong dan membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap masalah penyalahgunaan dadah.


Menurut Dato Paduka Haji Mohd. Zalani, ia merupakan seruan untuk membentuk generasi akan datang kepada yang lebih baik, di mana individu dan komuniti dapat hidup harmonis dan bebas daripada kesan negatif penyalahgunaan dadah.


Dalam memperkasakan usaha BKN dalam memerangi gejala penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang terus menular dalam masyarakat, Dato Paduka Haji Mohd. Zalani seterusnya berkata, BKN melancarkan Kurnia Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Video Kurnia Sabda tersebut terangnya, adalah inisiatif dari BKN dalam berusaha untuk menyebarluaskan maklumat dan kesedaran tentang bahaya dadah serta pentingnya mengambil langkah pencegahan.


“Kurnia Sabda mengandungi mesej anti-dadah dan kata-kata perangsang khususnya bagi belia dalam mempergiatkan usaha memerangi dadah dengan menyeru gaya hidup yang aktif dan kreatif, meluangkan masa dengan aktiviti-aktiviti keagamaan, kebajikan, kekeluargaan dan kemasyarakatan demi untuk kesejahteraan negara pada masa depan.


“Seterusnya, mesej sabda juga menyeru kepada penglibatan semua pihak dalam usaha menangani masalah dadah yang mencakup kepentingan nasional," ujar beliau lagi.


Dato Paduka Haji Mohd. Zalani seterusnya menambah, kita bukan sahaja berkumpul untuk merayakan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram, tetapi juga untuk mengingatkan diri kita mengenai amanah dan tanggungjawab yang mesti kita pikul dalam sama-sama berperanan menangani kesan ancaman yang terbit daripada kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.


Beliau turut melahirkan harapan, agar melalui sambutan ini, semua pihak dan lapisan masyarakat akan mengambil langkah proaktif dalam mendidik, menyokong dan membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap masalah penyalahgunaan dadah.


Majlis kemudiannya diikuti dengan pelancaran video Kurnia Sabda dan kemudiannya diteruskan dengan Forum Khas bertajuk 'Memperkasa Masa Depan Tanpa Dadah'.


Ahli panel forum adalah terdiri daripada Profesor Adjung Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos dan Profesor Adjung Antropologi dan Sosiologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Yang Berbahagia Datuk Dr. Zafari bin Zulkifli, manakala Pensyarah Akademi Pengajian Brunei, UBD, Dr. Zulhilmi bin Haji Jaidin selaku moderator forum.


Antara inti pati forum mengongsikan bahawa dalam menghadapi cabaran ini, kerjasama antara pelbagai pihak adalah sangat penting. Ia memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu yang melibatkan agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, sokongan dan dukungan masyarakat, serta semua individu yang menyedari akan bahaya dan kesan dari kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram.


Pendidikan dan kesedaran adalah senjata utama dalam menangani isu ini. Dengan memberi pengetahuan yang tepat tentang bahaya penyalahgunaan dadah, ia dapat mencegah generasi akan datang daripada terjebak dalam kancah ini.


Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk bersatu dalam memerangi isu ini. Melalui forum berkenaan, para peserta berpeluang untuk mendengar pandangan, perkongsian pengalaman serta cadangan daripada pakar-pakar dan pihak berkepentingan dalam menangani isu ini.


Turut hadir, Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan pegawai-pegawai dari jabatan kerajaan dan swasta, institusi pendidikan kerajaan dan swasta, Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta Majlis Belia di Negara Brunei Darussalam.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto