
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat tiba di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao bagi menghadiri Sidang-sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 Oktober 2024.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane dijunjung oleh Menteri Tenaga dan Perlombongan, Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Phoxay Xayasone.
Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Haji Roslan bin Haji Yacub.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto