Seramai lima pegawai Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terpilih untuk mengikuti Program Perkembangan Perkhidmatan Awam (PA) ke Republik Singapura bagi Kohort Ke-2 berlepas meninggalkan negara, petang tadi.
Antara para peserta program berkenaan adalah terdiri daripada para pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM); Kementerian Kesihatan; Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlayar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Hadir sama, Pemangku Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin; Timbalan Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr. Norfarizal bin Othman.
Juga hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Laurence Bay Siow Hon.
Program berkenaan merupakan hasil Young Leaders' Programme (YLP) kali Ke-8 yang telah diadakan pada 3 hingga 5 Ogos 2022 di Republik Singapura dan telah dimeterai melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kerajaan Singapura yang telah ditandatangani pada 24 Ogos 2022 di Republik Singapura.
Program penempatan berkenaan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada para pegawai dalam PA yang berprestasi cemerlang untuk ditempatkan di beberapa agensi kerajaan atau agensi yang berkaitan di Republik Singapura dalam tempoh tertentu mengikut bidang-bidang yang bersesuaian selaras dengan keperluan semasa dalam PA NBD.
Melalui penempatan kerja berkenaan, para pegawai yang terpilih akan berpeluang untuk meningkatkan kompetensi dan memperluas jangkauan profesional untuk menyumbang ke arah pembangunan organisasi, bukan sahaja kepada kementerian masing-masing, tetapi juga kepada perkembangan dan kemajuan PA NBD secara keseluruhan setelah pegawai berkenaan selesai mengikuti program berkenaan.
Kerjasama berkenaan diharap akan dapat mendatangkan manfaat dari segi pertukaran idea, pembelajaran daripada pengalaman dan amalan-amalan terbaik, peningkatan ilmu pengetahuan, pembinaan jaringan kerjasama dan setentunya untuk mengeratkan lagi hubungan akrab yang sudah lama terjalin di antara NBD dan Republik Singapura.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto