
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, hari ini berkenan menerima mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII (Ke-17), Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Terdahulu sebelum itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat ke The Empire Brunei bagi mengalu-alukan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan seterusnya berangkat bersama-sama menuju ke Istana Nurul Iman.
Juga berangkat ke The Empire Brunei ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik selaku Kerabat Diraja Pengiring dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah.
Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berangkat mengalu-alukan keberangkatan tiba Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di perkarangan Istana Nurul Iman, dan seterusnya sama-sama naik ke Pentas Khas untuk menerima Tabik Hormat diiringi dengan Lagu Kebangsaan kedua-dua buah negara dan 21 das tembakan meriam.
Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII kemudiannya beredar memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Majlis Sambutan Kenegaraan diteruskan dengan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong disembahkenalkan kepada Ahli-ahli kerabat diraja, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja, Timbalan-timbalan Menteri, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; Pemerintah ABDB, Ketua-ketua Perwakilan Asing di Negara Brunei Darussalam, Ahli-ahli MMN; dan Setiausaha-setiausaha Tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; serta pasangan masing-masing.
Sebelum Majlis Mengadap, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri kemudiannya disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Turut berangkat mengiringi Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ialah Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman, Tunku Temenggong Johor.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto