
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII (Ke-17), Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman bagi Majlis Mengadap.
Berangkat sama ke Majlis Mengadap berkenaan ialah ahli-ahli kerabat diraja.
Turut berangkat mengiringi Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ialah Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman, Tunku Temenggong Johor.
Hubungan erat yang berterusan antara kerabat diraja Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia jelas kelihatan melalui keberangkatan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia.
Selain itu, Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga sering mengadakan kunjungan muhibah ke NBD dan menghadiri Istiadat-istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran, yang semakin mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua kerabat diraja.
Sejak menjalin hubungan diplomatik pada Januari 1984, NBD dan Malaysia menikmati hubungan kerjasama dua hala yang kukuh dan mesra dalam pelbagai bidang penting, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, pelancongan dan kesalinghubungan serta kesihatan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto