Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Konsep bekerja adalah ibadah perlu diamalkan
24/10/2024

mjpm_241024.jpg

Ibadah bukanlah terhad kepada amalan ibadah ritual atau ibadah khusus semata-mata seperti menunaikan sembahyang, puasa, haji dan zakat, malah konsep ibadah merangkumi pengertian yang luas termasuk kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, bekerja mencari rezeki, sehinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara.


Islam mengajar umat-Nya agar sentiasa berusaha mengamalkan budaya kerja yang cemerlang dengan bertunjangkan iman dan akhlak untuk menghindari daripada terjerumus dalam masalah kesihatan mental di tempat kerja.


Profesor Kunjungan, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Dr. Haji Abdul Somad Batubara pada Forum Majlis Ilmu 2024 juga menyentuh mengenai masalah kesihatan mental boleh memberi impak negatif kepada individu dalam pelbagai peringkat kehidupan, termasuk di tempat kerja seperti tekanan kerja yang tinggi dan keletihan (burnout) yang turut menyumbang kepada keresahan dan kemurungan.


Ceramah forum tersebut dimoderatorkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin. Forum Majlis Ilmu 2024 bagi Daerah Belait telah berlangsung di Pusat Insani, Seria, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Konsep bekerja adalah ibadah perlu diamalkan oleh setiap individu dalam kehidupan seharian untuk meraih keredaan Allah Subhanahu Wata'ala khususnya dalam melakukan tugas dan tanggungjawab.


Dengan mengamalkan konsep ini, adalah diharapkan semua individu akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pada setiap masa tanpa rasa jemu.


Ini akan sudah setentunya menimbulkan kesedaran yang bekerja itu bukan sekadar tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara malah ia merupakan amanah Allah Subhanahu Wata'ala.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto