Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
DPMM berkenan menerima mengadap
24/10/2024

dpmm_241024.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan, pagi tadi berkenan menerima mengadap Menteri-menteri ASEAN dan Ketua-ketua Delegasi yang menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana Ke-12 (AMMDM) yang sedang berlangsung di negara ini bermula 24 hingga 25 Oktober 2024.


Semasa Majlis Mengadap tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kehadiran Menteri-menteri ASEAN ke Negara Brunei Darussalam (NBD) dan komitmen yang diberikan serta kerjasama ASEAN bagi meningkatkan kedayatahanan rantau ini dalam pengurusan bencana ke arah memupuk ASEAN yang lebih selamat dan berdaya tahan.


Hadir bagi mengetuai Majlis Mengadap tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi AMMDM Ke-12.


Juga hadir sama semasa Majlis Mengadap ialah Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Nararya S. Soeprapto; dan Pengarah Eksekutif ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre), Lee Yam Ming.


AMMDM berfungsi sebagai platform bagi Negara-negara Anggota ASEAN untuk mengkaji dan membincangkan pelaksanaan strategi dan dasar serantau mengenai pengurusan bencana terutama dalam pengurangan risiko bagi meningkatkan daya tahan bencana di rantau ini dan NBD adalah selaku Pengerusi bagi mesyuarat tersebut pada tahun ini.


Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Qashr Al-Meezaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto