Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Qistina Yus juara Bintang Harmoni 2024
26/10/2024

jpm_261024.jpg

Dayang Nur Qistina Adriana binti Mohammad Yusirwan (Qistina Yus) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Bintang Harmoni 2024 anjuran Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), yang berlangsung di Jerudong Park Amphitheatre dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah BND2,000 berserta trofi dan sijil, malam tadi.


Sementara itu, Awang Abdul Wafi bin Ismail (Pipo Ismail) menyandang naib juara, manakala Dayang Nurul Syuhada binti Mustapha (Nurul Mustapha) memenangi tempat ketiga.


Naib johan dan pemenang tempat ketiga, masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,500 dan BND1,000, juga trofi dan sijil. Qistina Yus turut memenangi Persembahan Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai BND300.


Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin.


Turut hadir, Pemangku Pengarah RTB, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Muhammad Kifli; pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para penaja.


Pertandingan tersebut adalah salah satu daripada usaha berterusan RTB untuk mendukung industri seni tanah air dan mengangkat bakat-bakat tempatan. Seramai 10 peserta telah bersaing untuk membawa pulang hadiah berupa wang tunai, trofi dan sijil penyertaan.


RTB merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja terdiri daripada Makan Ceria Sdn. Bhd. – McDonald's Brunei, Pappu Restaurant and Catering, Fitness Zone, Sengkurong Furniture Trading and Construction Sdn. Bhd., Al-Hijrah Travel and Tours Sdn. Bhd., Oriente Sdn. Bhd., Encore Sdn. Bhd., Radisson Hotel Brunei Darussalam, Saycheese Photo Studio dan Studio 7 Productions.


Pertandingan ini turut diadakan secara langsung melalui Harmoni FM, RTB Aneka dan RTBGo.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto