
Seramai 24 pemenang yang disenarai pendek menerima undian hadiah utama sumbangan dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), manakala tiga pemenang bertuah menerima tiga tiket penerbangan serta penginapan tiga hari dua malam sama ada di Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penghargaan dan Penyampaian Hadiah Pemenang Kuiz Majlis Ilmu 2024 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 Tahun, diadakan petang tadi di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Majlis dimulakan dengan ucapan penghargaan daripada Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang), JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Seminar Majlis Ilmu 2024 yang antara lain menggariskan kepentingan kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak sama ada pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan sehingga mampu menjayakan perlaksanaan Majlis Ilmu 2024 dengan lancar dan sempurna.
Ini diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Kuiz Seminar Majlis Ilmu 2024 dan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja Majlis Ilmu 2024 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Antara para penaja bagi Majlis Ilmu 2024 ialah BIBD, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan KN Nursery.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat majlis yang disampaikan oleh Pengarah Urusan BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.
Majlis Ilmu 2024 merupakan salah satu Majlis Utama Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-78 pada tahun ini.
Bertemakan 'Menangani Gejala Mental', Majlis Ilmu pada tahun ini memberi tumpuan kepada kesihatan mental yang pada masa ini telah menjadi salah satu isu kesihatan global yang dialami oleh berjuta rakyat di seluruh dunia.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto