Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Bangunan Persatuan AFSA dirasmikan
28/10/2024

mjpm_281024.jpg

Persatuan Pemedulian Sokongan Selepas Penjagaan (Aftercare Support System - AFSA) petang tadi mengadakan Majlis Pembukaan Rasmi Bangunan Persatuan AFSA yang diadakan di Diplomatic Enclave, Jalan Kebangsaan, Berakas, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Di-Pertua Persatuan AFSA, Dayang Hajah Juhana binti Haji Mohd. Jaya yang antara lain menjelaskan Persatuan AFSA pada masa ini sedang mengungkayahkan tiga projek.


"Pertama, memberi latihan dan kemahiran kepada rakan-rakan seliaan yang berminat dalam pertanian khususnya penanaman sayuran menggunakan rumah hijau (green house).


Kedua ialah projek penerusan Hafazan Al-Quran bagi rakan-rakan seliaan yang sebelum ini telah mengikuti Program Hafazan Al-Quran yang dikendalikan oleh Jabatan Penjara.


Ketiga ialah pengendalian Bengkel Keberkesanan Rehabilitasi dan Reintegrasi kepada Ahli-ahli AFSA, Pusat Integrasi dan rakan-rakan seliaan," jelas beliau lagi.


Tambahnya lagi, kesemua projek berkenaan adalah atas bantuan dana yang telah disumbangkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 5 Julai 2024 yang lalu.


Acara kemudiannya diteruskan lagi dengan Perasmian Bangunan Persatuan AFSA dan penandatanganan Plak Perasmian Bangunan Persatuan AFSA oleh tetamu kehormat.


Majlis seterusnya diikuti dengan Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II dijemput untuk membuat lawatan ke bangunan berkenaan dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.


Persatuan AFSA mula berdaftar dengan ROS (Registar of Society) Pasukan Polis Diraja Brunei pada 4 Ogos 2020, sementara Protem AFSA pula telah diasaskan pada 8 September 2018 oleh Pusat Kaunseling dan Seliaan, Jabatan Penjara.


Objektif utama AFSA antara lain adalah untuk membantu Jabatan Penjara mengurangkan kemasukan berulang-ulang, dengan kerjasama Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Rakan-Rakan Strategik menerusi pendekatan senegara untuk membantu mereka setelah dibebaskan.


Ia juga untuk membantu dan menyantuni mereka agar dapat hidup dan bersosialisasi dalam masyarakat, selain untuk mendapatkan pekerjaan atau keusahawanan yang setimpal dengan kelayakan dan kemahiran mereka agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan kondusif.


Seterusnya untuk mengurangkan gejala-gejala sosial yang tidak diingini, sambil menyahut Wawasan Negara 2035 agar Rakan Seliaan (RS) dapat menjadi warga masyarakat yang berkualiti dan harmoni berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto