Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima Grand Collar of the Order of the Sun of Peru yang dianugerahkan oleh Presiden Republik Peru, Puan Yang Terutama Dina Ercilia Boluarte Zegarra selepas sahaja selesai Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman.
Penganugerahan tersebut antara lainnya sebagai satu pengiktirafan dan simbol komitmen Republik Peru untuk terus bekerjasama dengan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam mencapai kesejahteraan kepada rakyat kedua-dua buah negara. Anugerah tersebut juga merupakan penghormatan tertinggi dari Republik Peru yang telah diwujudkan sejak negara berkenaan mencapai kemerdekaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudiannya bertitah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Yang Terutama Presiden Republik Peru atas penganugerahan Grand Collar of the Order of the Sun of Peru, yang mana anugerah berprestij ini melambangkan sejarah terkenal Republik Peru dan merupakan bukti persahabatan dan hubungan kukuh kepada kedua-dua buah negara.
Baginda menekankan bahawa penghormatan ini meningkatkan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala. Tambahan lagi, budaya bersemangat, warisan yang kaya dan peranan penting Republik Peru dalam kerjasama serantau menjadikannya sebagai rakan kongsi yang dihargai di arena antarabangsa.
Akhir sekali, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berharap untuk meneroka jalan-jalan baharu untuk kerjasama yang akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara dalam menyumbang keamanan dan kemakmuran global.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto