Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian berkenan meneruskan Keberangkatan Negara dengan menghadiri Mesyuarat Dua Hala bertempat di Tupac Amaru Hall, hari ini.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Semasa Mesyuarat Dua Hala tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah pada permulaan mesyuarat, antara lainnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden Republik Peru, Puan Yang Terutama Dina Ercilia Boluarte Zegarra, pemerintah serta rakyat Republik Peru atas sambutan mesra dan susun atur yang telah dihulurkan dengan terbaik.
Keberangkatan ini juga menandakan lawatan ketiga Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Republik Peru, justeru, baginda menghargai undangan tersebut kerana ia juga merupakan Keberangkatan Negara pertama baginda ke negara berkenaan.
Oleh itu, Kebawah DYMM teruja dan berharap untuk mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak daripada Pemerintah Republik Peru dan seterusnya melahirkan keyakinan bahawa perbincangan-perbincangan pada hari ini akan membuahkan hasil dan mengukuhkan lagi persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua buah negara.
Justeru, baginda percaya bahawa terdapat potensi besar untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan meneroka bidang-bidang baharu untuk kerjasama yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
Selain itu, Kebawah DYMM berharap untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC yang akan datang dan seterusnya mengucapkan tahniah kepada Puan Yang Terutama Presiden Republik Peru di atas kejayaan sebagai Pengerusi APEC pada tahun ini, yang mencerminkan peranan penting Republik Peru di persada antarabangsa.
Mesyuarat Dua Hala itu antara lainnya memberi tumpuan terhadap hubungan dua hala, di mana Kebawah DYMM mengakui meskipun perdagangan dua hala agak sederhana, namun terdapat momentum baru-baru ini terutamanya melalui komoditi seperti urea dan bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Peru harus terus memanfaatkan keahlian bersama dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan.
Ke arah ini, baginda mengalu-alukan Republik Peru untuk meluaskan ufuk ekonominya ke Asia Tenggara melalui NBD.
Baginda seterusnya menekankan bahawa pertukaran antara rakyat mengeratkan hubungan antara kedua-dua buah negara dengan signifikan dan baginda melahirkan penghargaan atas pengaturan pengecualian visa yang sedia ada dalam memudahkan pertukaran tersebut serta menggalakkan kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, terutamanya dalam bidang vokasional teknikal.
Kebawah DYMM juga merakamkan rasa berpuas hati dengan pemeteraian Memorandum of Understanding on Bilateral Consultations dan Memorandum of Understanding on Judiciary Cooperation semasa Keberangkatan Negara ini dan sekali gus membuka jalan untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama bersama.
Menyentuh tentang bidang pertahanan, NBD dan Republik Peru mempunyai potensi untuk pertahanan dan penglibatan maritim yang bermakna melalui inisiatif latihan bersama dan pembinaan kapasiti. Manakala perubahan iklim, tegas baginda, masih merupakan cabaran penting bagi kedua-dua rantau, yang dimanifestasikan melalui bencana alam yang lebih hebat.
Untuk itu, baginda mengongsikan bahawa penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di NBD adalah satu langkah ke hadapan dalam komitmen negara untuk menangani kebimbangan alam sekitar, serta mengalu-alukan sokongan Republik Peru terhadapnya.
Semasa Mesyuarat Dua Hala ini, kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk APEC, perkembangan di ASEAN termasuk penganugerahan Peru baru-baru ini sebagai Rakan Pembangunan ASEAN dan perkongsian ASEAN-Pacific Alliance. Pada penghujung mesyuarat ini, satu Kenyataan Bersama telah dikeluarkan.
Setelah selesai Mesyuarat Dua Hala, Kebawah DYMM dan Puan Yang Terutama seterusnya menyaksikan Majlis Penandatanganan bagi Memorandum of Understanding between the Government of His Majesty the Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam and the Government of the Republic of Peru on the Establishment of a Mechanism for Bilateral Consultations.
Dokumen tersebut ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof bagi pihak Kerajaan Kebawah DYMM bersama Menteri Luar Negeri, Tuan Yang Terutama Elmer José Germán Gonzalo Schialer Salcedo yang mewakili pihak Pemerintah Republik Peru.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto