Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Mesyuarat pertama Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-41
18/11/2024

mjpm_181124.jpg

Ke arah memastikan kelancaran upacara Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-41, Tahun 2025, Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun berkenaan diadakan bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Bersama.


Semasa berucap, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menjelaskan bahawa kejayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-40 tahun berkenaan menjadi bukti patriotisme dan kesepakatan rakyat Brunei.


“Acara yang penuh warna-warni dan kemeriahan berkenaan telah membawa kegembiraan kepada seluruh lapisan masyarakat sambil menonjolkan semangat Melayu Islam Beraja yang menjadi tunjang negara kita," ujar Yang Berhormat.


Yang Berhormat seterusnya berkata, Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Ke-41 nanti akan dilaksanakan dengan format yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya dengan beberapa cadangan pembaharuan.


“Oleh itu, kita akan merancang keraian ini berdasarkan pengalaman-pengalaman yang lalu dengan beberapa penambahbaikan dan menambah nilai baharu agar perhimpunan ini juga akan menjadi peristiwa yang istimewa dan sentiasa segar dalam ingatan semua lapisan masyarakat," jelas Yang Berhormat lagi.


Namun apa yang paling penting tambah Yang Berhormat, segala perancangan hendaklah mengambil kira semua aspek terutamanya dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.


Ke arah ini jelas Yang Berhormat, hasil Post-Mortem dari Jawatankuasa Kerja Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40 juga akan diambil kira dengan sentiasa mengetengahkan suasana kegembiraan, kemeriahan, dan semangat jitu orang-orang Brunei yang penuh patriotik.


“Kerjasama dan komitmen semua pihak dalam menjayakan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan kali ini amatlah disanjung tinggi sebagai satu bangsa yang bersepadu dan bertamadun dan paling utama sekali, pelaksanaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan hendaklah terus berpegang teguh kepada nilai-nilai teras kebruneian dan berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja," tegas Yang Berhormat.


Agenda Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 kali ini memfokuskan kepada laporan-laporan perkembangan dan cadangan-cadangan mengenai persiapan yang sedang giat dilaksanakan, cadangan tarikh dan tempat, cadangan logo dan tema, dan tarikh-tarikh raptai bagi upacara dan acara utama sambutan.


Di samping itu, mesyuarat juga membincangkan tatacara pelaksanaan dan jumlah keramaian bagi Upacara Perhimpunan Agung, Majlis Doa Kesyukuran, Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan, Majlis Khatam 41 Kali, dan acara-acara sampingan yang lain.


Turut sama hadir di mesyuarat berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Penasihat Bersama; Timbalan-timbalan Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, 2025.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto