Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
DPMM FC menang bergaya
24/11/2024

dpmm_241124.jpg

DPMM FC mencatatkan kemenangan 7-0 ke atas Wijaya FC pada perlawanan Liga Super Brunei 2024 yang berlangsung petang tadi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.


Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.


Berangkat sama, anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.


Turut berangkat menyertai DPMM FC ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim yang juga selaku Ketua Pasukan.


DPMM FC menunjukkan permainan yang cemerlang pada separuh masa pertama dengan menjaringkan tiga gol, yang mana gol pertama dijaringkan pada minit ke-4 melalui Luis Matias Hernandez.


Selepas itu diikuti dengan gol kedua pada minit ke-13 menerusi Sergio Mendiguchia Iglesias manakala Marcelo Junior De Souza Loiola seterusnya menjaringkan gol ketiga selang 10 minit kemudian.


Wijaya FC terus tertekan setelah DPMM FC menambah empat gol pada separuh masa kedua perlawanan menerusi Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim yang menjaringkan dua gol pada minit ke-56 dan ke-73, manakala jaringan Sergio Mendiguchia Iglesias pada minit ke-65 dan ke-78 perlawanan.


Dengan kemenangan ini akan memberikan keazaman bagi DPMM FC untuk terus beraksi cemerlang pada perlawanan akan datang.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto