Demonstrasi Peperangan Hutan di bawah Simposium Peperangan Hutan Serantau (Regional Jungle Warfare Symposium - RJWS) 2024 berlangsung di Empangan Kargu, Hutan Simpan Andulau, Sungai Liang, Daerah Belait hari ini.
Berangkat menyaksikan demonstrasi berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Tapak Pendaratan Empangan Kargu dengan menaiki pesawat Helikopter Blackhawk S70i Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Alexandra McKenzie.
Sejurus keberangkatan tiba di Empangan Kargu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota telah berkenan mendengarkan sembah alu-aluan daripada Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam bin Sulaiman.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya disembahkan taklimat pengenalan mengenai RJWS 2024, Demonstrasi Peperangan Hutan dan Kemahiran Peperangan Hutan oleh Ketua Staf TDDB, Leftenan Kolonel Erwan bin Haji Ibrahim selaku Pengerusi Bersama RJWS 2024.
Selepas itu, DYTM dijunjung untuk berangkat ke kawasan demonstrasi dengan menaiki kenderaan Light Tactical All-Terrain Vehicle (LT ATV) dan kemudiannya disembahkenalkan kepada para peserta RJWS sebelum dijunjung beredar ke Pentas Khas untuk menyaksikan Demonstrasi Peperangan Hutan.
DYTM kemudian berkenan menerima pesambah berupa sebuah 'Underwater Scooter' pada penghujung demonstrasi yang disembahkan oleh Pemerintah ABDB dan diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama peserta-peserta demonstrasi.
DYTM turut berkenan meninjau Pameran Statik Keupayaan Peperangan Hutan dan Pameran Ikhtiar Hidup, diikuti dengan sesi bergambar ramai dan seterusnya berkenan mengurniakan hadiah-hadiah kepada para peserta Kemahiran Peperangan Hutan.
Beredar ke Ruang Santap, DYTM juga berkesempatan menyaksikan Sail Pass yang merangkumi 84 peserta dan 19 aset TDDB dan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).
DYTM kemudian berkenan menerima pesambah daripada Pengerusi Bersama RJWS 2024 iaitu Ketua Staf TDDB dan Penasihat Pertahanan United Kingdom ke Negara Brunei Darussalam, Kapten Jonathan Caple, Royal Navy.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Sebelum berangkat meninggalkan kawasan demonstrasi berkenaan, DYTM berkenan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.
RJWS 2024 merupakan simposium kali ke-4, yang sebelum ini telah diungkayahkan bersama oleh Institut Latihan ABDB dan Angkatan Tentera British Brunei bermula dari tahun 2017 hingga 2019.
Pada tahun ini, TDDB buat julung kalinya mempengerusikan simposium tersebut bersama Angkatan Tentera British Brunei yang bertemakan 'Enhancing Survivability Through Training and Technology' dan melibatkan 17 buah negara dan 289 peserta.
Simposium tersebut bertujuan untuk meningkatkan kerjasama serantau serta memperluas usaha dalam pembangunan kapasiti peperangan hutan, perkongsian maklumat serta penyelidikan dan perkembangan di peringkat operasi dan taktikal.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto