Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat bercemar duli ke Upacara Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Pasokan Simpanan Gurkha (PSG) yang berlangsung di Padang Kawad, Perkhemahan Sungai Akar.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin dan Komandan PSG, Leftenan Kolonel (U) Haji Habil bin Haji Adol.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung beredar ke Pentas Diraja dan berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 161 anggota PSG, termasuk gabungan Serunai dan Tambur PSG dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di bawah Pemerintah Perbarisan, Kapten Rabindra Prakash Tulachan. Upacara tersebut kemudian disusuli dengan Perbarisan Kawalan Kehormatan berjalan lalu dan diikuti dengan mara ke hadapan untuk diperiksa semula.
Semasa upacara tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah bersempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas PSG. Seterusnya bagi memohon keberkatan majlis, doa dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Kebawah DYMM seterusnya dijunjung bagi menyaksikan Persembahan Arena yang menunjukkan Paparan Corak Kukri, Persembahan Tarian Kebudayaan Republik Demokratik Persekutuan Nepal dan demonstrasi dari Unit Anjing K-9 PSG.
Dari padang kawad, Kebawah DYMM berkenan berangkat ke Galeri Gurkha bagi perasmian pembukaan galeri tersebut. Sejurus tiba di galeri, baginda berkenan menandatangani plak perasmian pembukaan Galeri Gurkha diiringi dengan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Baginda seterusnya dijunjung beredar ke ruang galeri bagi melihat secara dekat koleksi sejarah awal kewujudan dan peranan PSG di Negara Brunei Darussalam sejak tahun 1974.
Kebawah DYMM kemudian dijunjung berangkat ke Mes Pegawai PSG bagi Majlis Santap Tengah Hari dan baginda juga seterusnya berkenan memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas PSG, yang diiringi dengan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam oleh pegawai dan anggota JAMA'AT.
Kebawah DYMM juga berkenan menerima pesambah yang berupa sebilah kukri, iaitu sejenis senjata tradisi kebangsaan Nepal. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pemangku Pengarah JAMA'AT.
Baginda kemudiannya dijunjung bagi Majlis Ramah Mesra bersama dengan para jemputan, warga dan ahli keluarga anggota PSG sebelum menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan dan bergambar ramai bersama para jemputan dan warga PSG sebelum berangkat meninggalkan majlis.
Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas PSG jatuh pada 25 Februari 2024 dan bagi memperingati upacara sambutan yang bersejarah pada tahun ini, Kebawah DYMM telah berkenan mengurniakan Pingat Jubli Emas PSG kepada semua pegawai dan anggota PSG termasuk mantan-mantan Pemimpin PSG. Baginda juga memperkenankan penukaran nama PSG kepada Pasukan Sekuriti Gurkha.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto