Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan dirasmikan
06/12/2024

hm_061224.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Masjid Baharu Kampung Junjongan bagi menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di masjid tersebut.


Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.


Berangkat sama ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dijunjung oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bagi menandatangani plak dan diiringi dengan laungan takbir Allahuakbar sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama sebagai petanda perasmian pembukaan masjid baharu tersebut dan dikenali sebagai Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan.


Khutbah Jumaat disampaikan oleh Pemangku Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali yang antara lain menjelaskan pembinaan masjid perlulah disertai dengan pengimarahannya iaitu aktiviti-aktiviti dan kegiatan-kegiatan bermanfaat yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala.


Beliau seterusnya menambah, antara usaha bagi memakmurkan dan menghidupkan masjid itu adalah dengan menjaga sembahyang berjemaah di dalamnya dan menjadikan masjid sebagai pusat penyampaian dakwah.


Sementara, Sembahyang Fardu Jumaat diimamkan oleh Pegawai Masjid, Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, Awang Haji Hayrul bin Haji Hakim.


Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lebih kurang tiga ekar dan pembinaan masjid baharu ini dimulakan dengan mendirikan tiangnya pada 18 Jun 2022.


Masjid tersebut merupakan masjid ketiga menggunakan peruntukan perbelanjaan dari Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dengan jumlah BND5.2 juta.


Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan mempunyai kapasiti untuk menampung lebih kurang 1,600 orang jemaah.


Pelbagai kemudahan disediakan untuk memastikan keselesaan semua pengunjung seperti tandas dan tempat berwuduk termasuk tandas dan tempat berwuduk untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).


Selain itu, masjid ini dilengkapi dengan bilik serbaguna, bilik pengurusan jenazah dan tempat letak kereta termasuk tempat letak kereta khusus untuk OKU.


Dengan pembukaan Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan ini dapat memberi keselesaan kepada penduduk kampung dan jemaah yang menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan Sembahyang Fardu Jumaat.


lanya juga dihasrat untuk digunakan oleh para penduduk untuk melakukan kegiatan serta aktiviti keagamaan bagi meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam di kampung tersebut dan di negara ini amnya.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto