Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
5 buah rumah bantuan bakal dibina
13/12/2024

jpm_131224.jpg

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) pagi tadi mengadakan Majlis Memulakan Tiang Rumah-rumah Bantuan bagi Projek Pembinaan Lima Buah Rumah Bantuan Baharu di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait dan Daerah Temburong di bawah Bantuan Skim Perumahan YSHHB Tahun 2024.


Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.


Majlis bermula di tapak pembinaan bagi salah seorang penerima rumah bantuan, Dayang Rokiah anak Pagan bertempat di 1076 C, Kampung Amo B, Jalan Batang Duri, Daerah Temburong.


Sebanyak lima buah rumah bantuan akan dibina di bawah projek ini. Tiga buah rumah di Daerah Temburong dikontrakkan kepada Syarikat The Ruman Power Co, manakala satu buah rumah masing-masing di Daerah Belait dan Daerah Brunei dan Muara dikontrakkan kepada Syarikat Impian Reka Bina Sendirian Berhad.


Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2025 dan merangkumi dua jenis banglo iaitu sebuah banglo dengan dua bilik tidur dan sebuah banglo dengan tiga bilik tidur.


Reka bentuk rumah bantuan YSHHB adalah lebih moden dan mengikut teknologi semasa, setara dengan keperluan rumah kos rendah. Pembinaan ini juga dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat, memastikan penerima dapat mendiami rumah mereka dengan selesa sebelum menjelangnya Hari Raya.


Rumah-rumah bantuan ini dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan, terutamanya mereka yang tinggal di kediaman yang daif dan tidak selamat untuk didiami. Ia bertujuan memberikan peluang kepada penerima dan keluarga mereka untuk memperbaiki taraf hidup dari segi sosial, ekonomi dan kesejahteraan keseluruhan.


Turut hadir, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan YSHHB.

 

YSHHB ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan keluarga baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.


Antara tujuan utama penubuhan YSHHB adalah untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat, termasuk memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi seperti tempat tinggal yang sempurna kepada golongan yang memerlukan. Projek pembinaan rumah bantuan ini merupakan salah satu inisiatif YSHHB dalam mencapai matlamat tersebut.


Juga turut hadir pada majlis ini, Ahli-ahli Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan YSHHB; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB; pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang berkenaan serta YSHHB.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto