Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berada di United Kingdom (UK) dan Ireland. Berangkat sama ke majlis tersebut ialah kerabat diraja.
Majlis tersebut berlangsung di Royal Lancaster Hotel, London, di sini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi NBD ke UK dan Ireland, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad dan isteri, Pengiran Datin Noralam binti Pengiran Haji Kahar; Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-penuntut NBD di UK dan Ireland, Awang Raiyan Muqri bin Dr. Saiful Rizal dan Naib Yang Di-Pertua Persatuan tersebut, Dayang Nur Zaidati Qadrina binti Perdi.
Sejurus selepas itu, baginda berdua dijunjung menandatangani Lembaran Kenangan dan berangkat bagi Majlis Santap bersama perwakilan penuntut.
Sebelum berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penuntut NBD, baginda berdua berangkat menghadiri sesi bergambar ramai bersama Yang Di-Pertua dan Naib Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-penuntut NBD di UK dan Ireland serta wakil penuntut NBD di UK dan Ireland.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.
Terdahulu sebelum itu, majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan NBD dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Awang Muhammad Nabil Syami bin Norman dari University of the Highlands and Islands, Scotland, manakala inti sarinya dibacakan oleh Awang Muhammad Meerza Helmi bin Uzapuspa dari Imperial College London.
Doa Selamat kemudiannya dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-penuntut NBD di UK dan Ireland, Awang Raiyan Muqri dalam ucapan sembah alu-aluan menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas peluang, kemudahan, sokongan dan bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan baginda kepada para penuntut yang mengikuti pengajian di UK dan Ireland.
Yang Di-Pertua juga menekankan kesungguhan dan dedikasi para pelajar dalam menyokong aspirasi negara untuk mencapai Wawasan 2035.
Antara kenangan manis, bagi kira-kira 1,300 orang rakyat dan penduduk NBD yang hadir dalam majlis tersebut ialah kesempatan hadir menghadap ke hadapan majlis Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri.
Pada majlis ini juga, perwakilan pelajar menyembahkan pesambah ke hadapan majlis Kebawah DYMM, yang telah direka bentuk oleh seorang pelajar Brunei berupa beberapa helai tali leher, yang diperbuat daripada sulaman corak Kain Tenunan Brunei dan Scottish Kilt sebagai simbol jalinan akrab antara NBD dan UK dan Ireland dan juga senaskhah Buku Ristaan 'Raja Pragmatik, Belia Dinamik'.
Manakala pesambah 'Sentuhan Warisan Sejagat' disembahkan ke hadapan majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri, yang telah direka bentuk oleh dua orang pelajar Brunei dan merupakan sebentuk pin baju dan satu beg tangan bermotifkan warisan budaya NBD dan UK dengan hiasan reka bentuk moden.
Pereka tali leher ialah Awang Wan Muhammad Hafiz bin Wan Habib dari University of South Wales, manakala pereka pin baju dan beg tangan ialah Awang Muhammad Fadzli bin Adiputra dari University College London dan Awang Mohammad Safwan 'Arif bin Suhara Fadzali dari Queen Mary University, London.
Majlis Bersama Rakyat kali ini diserikan dengan Persembahan Nasyid bertajuk 'Hikmah Hijrah' yang disembahkan oleh para penuntut NBD yang berada di UK dan Ireland.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto