Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Menerokai kerjasama tangani jenayah pemerdagangan orang
09/01/2025

jpm_090125.jpg

Jawatankuasa Kebangsaan Anti-Pemerdagangan Orang (JKAPO) menerima kunjungan daripada perwakilan Office to Monitor and Combat Trafficking in Persons (J/TIP), Jabatan Negara, Amerika Syarikat (AS) yang berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk lawatan kerja selama dua hari iaitu 8 hingga 9 Januari 2025 atas jemputan daripada JKAPO.


Lawatan berkenaan memberi peluang kepada delegasi J/TIP untuk melihat dengan sendiri komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan dasar-dasar bagi membanteras jenayah Trafficking in Persons (TIP).


Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang), Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, selaku Pengerusi JKAPO mengalu-alukan delegasi J/TIP yang diketuai oleh Deputy Director of J/TIP, Jonathon Turley; dan Desk Officer for Brunei Darussalam, Dan Muncaster, bersama-sama Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke NBD, Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland.


Mesyuarat turut dihadiri oleh ahli-ahli JKAPO yang lain. Pada mesyuarat berkenaan, delegasi J/TIP mengiktiraf usaha-usaha JKAPO khususnya daripada aspek pencegahan, perlindungan dan pendakwaan yang berkaitan dengan jenayah pemerdagangan orang yang melambangkan komitmen mendalam JKAPO ke arah menangani cabaran-cabaran yang kompleks untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang secara efektif dan menyeluruh.


Kedua-dua pihak turut berpeluang untuk menerokai kaedah-kaedah dan proses alternatif bagi mengenal pasti mangsa-mangsa TIP dan seterusnya bersetuju untuk meningkatkan usaha-usaha kerjasama bagi menangani jenayah pemerdagangan orang dengan efektif.


Kedua-dua pihak juga membincangkan peluang-peluang kerjasama termasuk melalui pertukaran amalan-amalan terbaik (best practices) dan peluang latihan bagi agensi-agensi undang-undang dan penguatkuasaan, kehakiman dan pekerja sosial.


Pada hari pertama lawatan, delegasi J/TIP berpeluang untuk mengadakan perjumpaan dengan beberapa buah agensi termasuk Pejabat Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri termasuk Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai dasar-dasar dan mekanisme di NBD untuk menangani jenayah pemerdagangan orang khususnya Prosedur Operasi Tetap Kebangsaan (National Standard Operating Procedure-NaSOP) jenayah pemerdagangan orang.


Sesi-sesi perbincangan berkenaan turut menyentuh mengenai usaha-usaha NBD dari segi pendakwaan, mengenal pasti mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan orang dan prosedur operasi tetap berhubung pengambilan pekerja-pekerja asing.


Lawatan berakhir dengan kunjungan ke rumah perlindungan khas bagi mangsa-mangsa atau individu yang disyaki mangsa jenayah pemerdagangan orang yang menunjukkan komitmen negara dalam menyediakan khidmat bantuan untuk menjaga kesejahteraan mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan orang.​

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri